SOSMA tidak akan dimansuhkan, kata Muhyiddin

Muhyiddin hadir pada Majlis Perhimpunan Bersama Anggota Polis di Balai Polis Pekan Nanas hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Muhyiddin hadir pada Majlis Perhimpunan Bersama Anggota Polis di Balai Polis Pekan Nanas hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PEKAN NANAS - [DIKEMASKINI] “Kita tak akan mansuhkan SOSMA." Itu reaksi Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai cadangan pemansuhan akta berkenaan oleh pelbagai pihak termasuk pimpinan politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas alasan akta berkenaan disalah guna oleh pihak berkuasa.

Muhyiddin berkata, pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) sememangnya termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan ia akan terus dikekalkan.

Bagaimanapun menurutnya, akta berkenaan akan dipinda dan perkara itu telah pun dipersetujui serta dimaklumkan di Parlimen.

“Kita dah selesai satu pusingan bawa ke Kabinet dan ada pandangan lain termasuk kita buat proses libat urus dengan beberapa pihak untuk dapatkan input. Selepas itu kita akan bawa balik ke Kabinet untuk dapatkan keputusan muktamad.

"Ada beberapa perkara seperti ada yang kata tempoh 28 hari reman dalam SOSMA itu terlalu panjang, agak menyeksakan. Tetapi kita juga mengambil kira pandangan pihak polis. Ada kata tak cukup, ada kata mencukupi.

“Ini pandangan; kita mulakan dengan 14 hari. Nak sambung 14 hari lagi kena bawa ke mahkamah dan setelah hakim bersetuju, barulah kita sambung lagi. Ini soal semak dan imbang (check and balance),” katanya pada program minum petang bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Pekan Nanas hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan memansuhkan SOSMA atas alasan ia disalah guna pihak berkuasa.

Malah Penasihat DAP, Lim Kit Siang pernah menggesa kerajaan memansuhkan SOSMA seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH kerana pernah disalah guna terhadap pihak atau individu yang membongkar kegiatan rasuah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhyiddin berkata, tindakan mempertahan SOSMA bukan hanya terhad kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) namun ia lebih dilihat sebagai usaha bagi menangani isu keganasan.

“Isu keganasan ini bukan bayangan. Ini realiti. Malaysia dijadikan pangkalan. Ada rakyat Malaysia pergi ke Syria berperang mati di sana. Keganasan merentas sempadan. Maklumlah, hari ini dunia terbuka dan Malaysia punyai kawasan sempadan yang agak luas.

“Oleh itu kita mohon kerjasama di peringkat antarabangsa untuk kita tingkatkan lagi keselamatan dan kerana kita tidak boleh main-main dalam soal ini,” katanya.