KPDNHEP Kluang periksa 217 premis

Zulazre ketika memeriksa tanda harga salah satu premis perniagaan dalam operasi berkenaan.
A
A

KLUANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kluang memeriksa sebanyak 217 premis dan pasar tani sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2019 tahun ini bermula 20 Oktober sehingga 2 November lalu.

Ketua Cawangannya, Mohd Zulazre Mokeri berkata, operasi berkenaan dianggotai seramai 12 pegawai penguat kuasa.

“Dalam operasi yang dijalankan, kita berjaya mengesan tiga kes membabitkan kesalahan tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu dan tidak meletakkan tanda harga pada barangan harga terkawal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zulazre berkata, semua kes terbabit telah diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, sejak awal tahun ini sebanyak 5,628 pemeriksaan dilakukan bagi memastikan proses jual beli barang dilakukan mengikut prosedur sepatutnya.

“Dalam operasi itu secara keseluruhannya para peniaga mematuhi peraturan ditetapkan KPDNHEP seperti pematuhan meletakkan tanda harga dan penggunaan alat timbang yang disahkan.

“Buat masa ini hanya sebilangan kecil sahaja peniaga masih ingkar dan untuk itu kita juga telah mengambil tindakan yang sepatunya,” katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP Cawangan Kluang juga akan meneruskan pemeriksaan dan penguatkuasaan di setiap premis bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan.