Bekas CEO dedah Jho Low seleweng AS$1.8 bilion dana 1MDB

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, menyeleweng kesemua AS$1.83 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam tempoh tiga tahun, bermula 2009 hingga 2011.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, wang yang diseleweng Jho Low dalam bentuk perjanjian pembiayaan Murabaha berjumlah AS$830 juta dan AS$700 juta lagi semasa usaha sama yang gagal antara 1MDB and PetroSaudi International Ltd (PSI).

Turut didedahkan bahawa pada Mac 2010, ekuiti AS$1 bilion dalam usaha sama ditukarkan kepada nota Murabaha Islam dengan 1MDB menyuntik AS$500 juta lagi dan sebahagian daripadanya disalurkan kepada Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Patrick Mahony.

Shahrol Azral, 49, juga mengesahkan bahawa daripada jejak wang berkenaan, sejumlah AS$1.83 bilion berakhir pada Jho Low.

Semasa disoal oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, saksi kesembilan itu mendedahkan bahawa syarikat sumber strategik telah tersalah menghantar AS$700 juta ke syarikat Jho Low, Good Star pada September 2009 melalui Deutsche Bank dan AS$330 juta pada Mei 2010, melalui AmBank, juga kepada Good Star.

"Bank telah menyoal 1MDB apabila didapati nombor akaun yang disediakan untuk pemindahan tidak sepadan dengan nama benefisiari yang dimaksudkan 1MDB, yang sepatutnya PetroSaudi International Ltd.

"Nombor akaun bank berakhir dengan 2000, di bank JP Morgan Chase sebagaimana yang disediakan oleh CEO PetroSaudi International Ltd Tarek Obaid sebenarnya milik syarikat Jho Low, Good Star Ltd," katanya.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa pada 2009, 1MDB telah membayar AS$1 bilion bagi 40 peratus pegangan dalam usaha sama berkenaan, manakala PetroSaudi menguasai baki 60 peratus.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun kemudiannya didedahkan bahawa saham PetroSaudi bernilai hanya AS$108 juta.

Muhammad Shafee kemudiannya menyoal saksi, dengan kedudukannya sebagai CEO 1MDB dan Radhi Mohamad sebagai Ketua Pegawai Kewangan tentu telah mengetahui daripada kesilapan sebelum bahawa nombor akaun berkenaan milik Good Star.

Muhammad Shafee: 1MDB telah melakukan kesilapan, sekurang-kurangnya dua kali sekarang?

Shahrol Azral: Ia mungkin, kami tidak ingat nombor akaun Good Star dari 2009. Kami tidak mengesyaki yang Good Star tidak bergabung dengan PSI pada masa itu. Ia hanya nombor akaun yang diberikan kepada kami oleh rakan kongsi yang kami percayai.

Muhammad Shafee: Bercakap sebagai CEO yang bertanggungjawab terhadap 1MDB dan menghantar sejumlah besar pembayaran tetapi 1MDB terus membuat kesilapan demi kesilapan. Kamu menghantar wang yang banyak, tidakkah ia akan menjadi kecuaian oleh 1MDB?

Shahrol Azral: Saya tidak setuju.

Muhammad Shafee: Tiada penelitian di pihak kamu, kamu dan pasukan kamu?

Shahrol Azral: Saya tidak setuju.

Shahrol Azral juga memberitahu mahkamah bahawa Jho Low menegaskan bahawa syarikatnya Good Star Ltd dimiliki PSI.

Saksi itu berkata, beliau telah bertanya Jho Low mengenai pemilikan Good Star selepas portal berita menerbitkan artikel bersiri berhubung syarikat itu pada 2015.

“Jadi saya menghantar pesanan kepada Jho Low meminta beliau menjelaskan apa yang berlaku. Beliau menegaskan bahawa Good Star dimiliki PetroSaudi dan Jho Low memberitahu saya bahawa akan meminta PetroSaudi untuk menulis surat untuk mengesahkan perkara itu,” katanya.

Muhammad Shafee: Ini apa yang Jho Low beritahu kamu.

Shahrol Azral: Ya.

Muhammad Shafee: Kamu menghantar pesanan melalui BBM (BlackBerry Messenger)?

Shahrol Azral: Pada masa itu saya tidak ingat kaedah apa yang saya gunakan. Saya rasa tidak menggunakan lagi Blackberry.

Muhammad Shafee: Jadi, ini dari artikel bersiri dalam The Edge sahaja?

Shahrol Azral: Yang saya ingat, (artikel) The Edge yang menyebabkan saya menghubungi Jho Low.

Ditanya mengenai dakwaan dalam artikel itu, saksi itu berkat,a ia berkaitan Good Star milik Jho Low.

Beliau bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa perkara itu kini tidak benar.

Muhammad Shafee berkata, PSI telah menulis surat berhubung pemilikan Good Star.

Beliau kemudian membaca surat daripada PSI kepada Shahrol Azral.

Surat menyatakan: "Bagi pihak PetroSaudi International Ltd dan seluruh PetroSaudi Group, saya mengesahkan bahawa semua pemindahan daripada 1Malaysia Development Berhad dan kumpulan gabungannya, 1MDB Group telah diterima oleh PetroSaudi. Di samping itu, saya ingin mengesahkan mulai 1 September 2009, saham tunggal Good Star Ltd dipegang oleh PetroSaudi Group dan kedudukan ini kekal."

Semasa disoal Muhammad Shafee, Shahrol Azrol berkata, pada masa itu, beliau tidak menyedarinya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin. - Bernama