Kerajaan perlu juga benarkan tanam ketum, kata MP

Zahidi
Zahidi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan juga perlu membenarkan penanaman ketum sekiranya bercadang memberi keizinan untuk penanaman hem.

Bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, beliau merasakan cadangan membenarkan penanaman hem bukanlah satu masalah.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Padang Besar, hem bukanlah sejenis dadah, malah tumbuhan itu tidak mengandungi kandungan terlarang.

"Tiada masalah, hem bukanlah seperti ganja. Jadi jikalau tumbuhan itu ditanam untuk tujuan perubatan, tiada masalah.

"Bagaimanapun, jikalau hem dibenarkan tanam, maka daun ketum juga perlu diberikan kebenaran sama," katanya ketika diminta mengulas cadangan kerajaan membenarkan penanaman hem.

Katanya, ketum bukan hanya memiliki nilai perubatan, malah membantu meningkatkan taraf penduduk.

"Malah, ia dibuktikan melalui kajian dilakukan di beberapa universiti termasuklah luar negara seperti Florida.

"Jadi, lebih baik benarkan sahaja penduduk menanam ketum dari tanaman lain, seperti getah dalam keadaan ekonomi ketika ini demi meningkatkan taraf ekonomi mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ketum bukan hanya memiliki nilai lebih tinggi dari hem, malah mendapat permintaan meluas dari luar negeri.

"Apa salahnya benarkan sahaja penduduk tanam ketum, iaitu sekitar lima pokok bagi setiap isi rumah sudah cukup, dan kita kawal dari disalah guna dan untuk pasaran ke negara luar sahaja," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kesediaan kerajaan untuk membenarkan penanaman hem iaitu tumbuhan dari spesies ganja bagi tujuan penyelidikan industri namun kebenaran itu tertakluk mengikut Seksyen 6B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedang menunggu kertas cadangan daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung perkara itu.

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan benar penanaman hem