Zakat untuk bukan Islam

A
A
A

DALAM al-Quran, surah al-Taubah ayat 60, ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan al-muallafah qulubuhum (orang yang dijinakkan hati-hati mereka), dan al-riqab (hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya), dan al-gharimin (orang-orang yang berhutang), dan fi sabilillah (untuk dibelanjakan pada jalan Allah) dan Ibn Sabil (orang-orang musafir yang putus bekalan dalam perjalanan).”

Dalam ayat di atas, dinyatakan al-muallafah qulubuhum ialah salah satu daripada lapan asnaf yang layak menerima zakat.

Baru-baru ini, ada pihak mencadangkan kepada pihak berkuasa zakat agar zakat turut diberikan kepada orang kafir. Rentetan itu, ada yang menyokong dan menentang malah ada yang memberi pandangan negatif.

Ramai yang meminta saya mengulas isu itu. Saya katakan ia sangat sensitif dalam masyarakat Islam. Kenapa? Ini kerana kurangnya pendedahan dan maklumat dalam kalangan mereka.

Kita dapati ulasan-ulasan itu melampaui batas akhlak Islamiah disebabkan kejahilan tentang hukum serta malas mencari dahulu sebelum mengulas.

Apabila terbaca pandangan mufti yang memutuskan bahawa zakat boleh diberi kepada bukan Muslim, terlintas dalam fikiran saya satu soalan: "Adakah golongan al-muallafah qulubuhum yang disebut dalam al-Quran termasuk juga yang belum Islam?”

Soalan itu menjadi daya tolak untuk saya mencari maklumat dan menulis tentang isu tersebut.

Saya mula mencari tafsiran dan ulasan ulama dalam pelbagai kitab tafsir dan kitab fikah mazhab empat dalam Maktabah Syamilah. Secara umumnya ada dua pandangan dikemukakan oleh ulama terdahulu mentafsirkan istilah al-muallafah qulubuhum ini. Pandangan pertama mengatakan, ia merujuk kepada orang Yahudi dan Nasrani yang masuk Islam dan mana-mana orang yang baru masuk Islam. Ini dinyatakan dalam Tafsir al-Tabari dan Tafsir Ibn Abi Hatim.

Artikel Berkaitan:

Pandangan kedua menyatakan, al-muallafah qulubuhum boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu Muslim dan bukan Muslim. Ia dinyatakan dalam kitab al-Tafsir al-Wasit li al-Quran al-Karim karangan sekumpulan ulama di bawah seliaan Majmak al-Buhuth al-Islamiyyah bi al-Azhar, kitab Mafatih al-Ghayb karangan Fakhr al-Din al-Razi, kitab Tafsir al-Quran tulisan Abu al-Muzaffar al-Syafi’i, kitab Tafsir al-Baghawi karangan al-Baghawi al-Syafi’i, kitab Ruh al-Bayan karangan Abu al-Fida’ dan kitab al-Hawi al-Kabir karangan al-Mawardi.Dalam tulisan ini, saya hanya fokus kepada golongan al-muallafah qulubuhum daripada kategori bukan Muslim.

Dalam huraian kitab-kitab yang saya sebutkan di atas, para ulama menyatakan terdapat dua golongan bukan Muslim yang pernah menerima zakat pada zaman Rasulullah SAW.

Yang pertama ialah golongan berpengaruh dan ada kedudukan yang ramai pengikutnya (ketua kaum/kabilah) tetapi tiada niat untuk memeluk Islam. Walau bagaimanapun, dengan pemberian zakat akan mengurangkan permusuhan mereka terhadap Islam.Yang kedua pula ialah golongan berpengaruh dan ada kedudukan yang memang ada niat untuk memeluk Islam. Tujuan pemberian zakat supaya mereka tekad memeluk Islam.

Jelas Rasulullah SAW pernah memberikan zakat kepada golongan bukan Muslim.

Saya tidak nafikan wujud pandangan sebahagian ulama yang mengatakan al-muallafah qulubuhum sudah tiada lagi dan zakat untuk golongan ini dimansuhkan.

Malah dinyatakan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar, Uthman dan Ali, zakat kepada bukan Muslim tidak lagi diberikan atas asas Islam sudah kuat pada masa tersebut.

Akan tetapi saya tertarik kepada pernyataan al-Mawardi dalam kitab al-Hawi al-Kabir yang menyatakan walaupun Imam Malik dan Abu Hanifah menggugurkan asnaf al-muallafah qulubuhum tetapi ia kekal ada iaitu tidak digugurkan daripada asnaf lapan layak menerima zakat.Apa yang dapat saya simpulkan adalah pemberian zakat kepada bukan Muslim terserah kepada keputusan pihak berkuasa mengikut kepentingan, keperluan dan maslahah umum semasa.

Yang penting, kita sebagai masyarakat awam perlu faham bahawa bukan menjadi satu kesalahan jika zakat diberi kepada bukan Muslim mengikut pandangan syarak.

*Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah