X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Jho Low tidak berada di Cyprus: KPN

Abdul Hamid Bador
A
A

KUALA LUMPUR - Polis percaya ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low masih bersembunyi di sebuah negara terpencil.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, bagaimanapun pihaknya menolak laporan yang mengatakan lelaki itu berada di kepulauan Cyprus.

“Saya dah katakan, mustahil dia boleh keluar dari tempat negara persembunyian dia dengan mudah. Dia masih bersembunyi di situ,” katanya tanpa mendedah dan mengesahkan negara mana.

Beliau berkata, polis Malaysia mengambil pelbagai pendekatan berunding dengan pihak kerajaan dan pihak berkuasa negara berkenaan, baik secara rasmi mahu pun tidak rasmi dalam usaha membawa pulang Jho Low ke negara ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Buku Manual Siasatan Jenayah Komersil dan Buku Arahan Penyiasatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, di sini hari ini, Abdul Hamid berkata, beliau amat kecewa apabila permintaannya berhubung Jho Low tidak dilayan oleh negara terbabit.

“Isunya orang merompak duit negara. Saya akan terus berusaha...saya tak 'give up'.

"Saya akan terus berikan alasan-alasan kepada pihak berkenaan kenapa mereka mesti membantu saya. Isu ini adalah isu jenayah. Ia tidak ada kepentingan strategik atau politik sesebuah negara.

“Selama ini saya berikan kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan dalam hal-hal kepolisan. Saya amat kecewa apabila permintaan saya tidak dilayan...ikut maklumat saya ada dia masih di negara itu...,” katanya.

Baru-baru ini terdapat laporan mengatakan Jho Low yang menjadi buruan ekoran skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menggunakan pasport Cyprus.

Sementara itu, Abdul Hamid turut mendedahkan bahawa pihaknya memperoleh maklumat bahawa Jho Low sedang berusaha untuk membeli harta di Cyprus menggunakan nama individu yang tidak dikenali.

Beliau berkata, maklumat itu diperoleh selepas pihaknya menahan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan Jho Low beberapa minggu lepas.

“Kami ada buat tangkapan secara diam-diam kira-kira tiga empat minggu lepas. Hasil daripada penahanan ini, kami berjaya merungkai...kami dapat maklumat Jho Low sedang berusaha untuk membeli harta menggunakan nama entah siapa di Cyprus,” katanya.

Abdul Hamid berkata, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman juga giat berusaha mengkaji petunjuk baharu berkaitan Jho Low.

“Pasukan AMLA giat bekerja siang dan malam mengkaji petunjuk-petunjuk yang ada (termasuk isu Cyprus ini),” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!