Tanah runtuh: Laluan masih ditutup kepada kenderaan

Kerja-kerja pembersihan laluan yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh petang semalam masih dijalankan. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat
Kerja-kerja pembersihan laluan yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh petang semalam masih dijalankan. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat
A
A
A

BENTONG - Jalan Genting ke sebuah pusat peranginan di sini yang terputus akibat kejadian tanah runtuh petang semalam masih ditutup kepada semua kenderaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yusry Abdullah Sani berkata, ketika ini kerja-kerja pembersihan laluan berkenaan masih dijalankan.

Menurutnya, secara keseluruhan keadaan di lokasi terkawal, namun mendapati masih berlaku pergerakan tanah di cerun kawasan runtuhan yang kini dalam pemantauan pihaknya.

“Setakat ini cuaca baik, jadi kerja-kerja pembersihan yang dijalankan pihak kontraktor dengan pemantau Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pejabat daerah berjalan lancar.

“Bagaimanapun sekiranya berlaku hujan, kerja-kerja ini terpaksa dihentikan kerana kita bimbang kejadian tanah runtuh ini akan berulang dan boleh mengancam keselamatan petugas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pergerakan tanah dikesan masih berlaku di kawasan runtuhan. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat
Pergerakan tanah dikesan masih berlaku di kawasan runtuhan. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

Yusri berkata, buat sementara waktu, ada jalan alternatif dibuka untuk pejalan kaki bagi membantu pengunjung pangsapuri dan sebuah hotel berhampiran keluar masuk.

“Setakat ini, mereka terpaksa jalan kaki ekoran keadaan laluan yang masih belum selamat untuk dibuka kepada kenderaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, jalan utama untuk naik ke Genting Highlands tidak terjejas.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh sekat laluan utama ke pusat peranginan di Bentong