APMM tahan dua bot pukat tunda

jk
jk
A
A
A

GEORGETOWN - Padah melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan yang ditetapkan, dua bot nelayan tempatan Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang petang semalam.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, bot berkenaan ditahan jam 2.50 petang pada jarak 6.0 batu nautika dan 6.1 batu nautika dari Utara Muka Head dalam Op Pertiwi/Op Bersepadu SITF 1/2019.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua tekong dan empat awak-awak warga Thailand berumur lingkungan 36 hingga 67 tahun berada di atas kedua-dua bot berkenaan.

"Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di bawah 15 batu nautika," katanya ketika dihubungi di sini.

Selain itu, Hamizan berkata, pihaknya turut merampas dua gulung pukat tunda, ikan baja seberat 600 kilogram (kg) dan ikan campur 880kg.

Katanya, bot dan semua yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Hamizan berkata, pihaknya memandang serius kesalahan melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar zon ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Beliau juga meminta kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 / 04-2643650.

Artikel Berkaitan: