Kerjasama SPRM, Bursa ke arah korporat Malaysia bebas rasuah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bursa Malaysia Bhd merancang untuk mewujudkan kerjasama pembelajaran untuk menggalakkan Malaysia bebas rasuah.

Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen berkata, melalui kerjasama pembelajaran itu, kedua-dua pihak akan mendapat manfaat daripada perkongsian pengetahuan dan pengalaman.

"Ini sekali gus akan meningkatkan kemahiran dan keupayaan pembelajaran pegawai SPRM dan Bursa Malaysia dalam menjalankan peranan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua pihak menyatakan minat bersama mereka untuk bekerjasama pada persidangan 'Building Trust and Transparency: Collaborate, Accelerate, Strengthen' anjuran bersama Institut Bank-Bank Bertauliah Asia (AICB) dan Compliance Officers’ Networking Group di sini hari ini.

Kerjasama pembelajaran itu akan melibatkan penempatan pegawai SPRM di Bursa Malaysia untuk tempoh masa tertentu bagi mempelajari dan lebih memahami mengenai peraturan pasaran modal Malaysia dalam persekitaran semasa termasuk penyeliaan pasaran dan siasatan.

Menurut kenyataan itu usaha kerjasama tersebut akan turut mengkaji inisiatif untuk mewujudkan kesedaran dan kesediaan dalam kalangan syarikat senaraian awam Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang baharu.

Seksyen 17A mengenakan liabiliti untuk rasuah ke atas organisasi komersial, termasuk syarikat, serta pengarah, pegawai dan orang yang menguruskan urusan syarikat.

Ia akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2020. - Bernama

Artikel Berkaitan: