ADUN Jeram kekal pendirian isu tanaman ganja di Selangor

Mohd Shaid Rosli
Mohd Shaid Rosli
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli sekali lagi meminta kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan mengenai isu tanaman ganja di negeri ini yang disifatkan memberi manfaat dalam bidang perubatan.

Mohd Shaid ketika sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2020 hari ini turut melahirkan keyakinan berhubung pelaksanaan agenda tersebut dalam bidang pertanian di Selangor sekiranya kerajaan negeri memikirkan dari sudut positif.

Beliau turut meminta Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim untuk melakukan lawatan ke ekspo di Thailand bagi menilai manfaat, di samping mengkaji peluang eksport menerusi penanaman tersebut.

"Saya tetap dengan pandangan peribadi saya untuk mencadangkan penanaman ini kerana seperti kita tahu, Australia sendiri telah membenarkan tanaman ganja pada tahun hadapan, malah saya lihat kerajaan juga sudah mula mengkaji mengenai perkara ini," katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua DUN Selangor ke-14 hari ini.

Pada sesi Sidang DUN lalu, Mohd Shaid pernah membawa usul mengenai penanaman tumbuhan itu, namun ia ditolak untuk dibahaskan.

"Dalam sidang yang lepas, ramai ketawakan bila saya bawa usul ini kerana mereka tidak membaca.

"Sekarang, ramai dah membaca dan tahu kebaikan serta manfaat dari sudut perubatan melalui penanaman ini.

"Jadi, saya harap kerajaan negeri beri ruang kepada Jeram untuk membuat pembentangan tentang manfaat menerusi penanaman ini," katanya.

Artikel Berkaitan: