'Notis roboh premis haram perlu diberi kepada semua'

Laporan Sinar Harian hari ini mengenai penguatkuasaan yang lemah serta longgar oleh PBT menjadi antara punca yang menyebabkan pemilik premis perniagaan haram di tanah rizab jalan di kawasan Selayang Baru menjadi 'besar kepala'.
Laporan Sinar Harian hari ini mengenai penguatkuasaan yang lemah serta longgar oleh PBT menjadi antara punca yang menyebabkan pemilik premis perniagaan haram di tanah rizab jalan di kawasan Selayang Baru menjadi 'besar kepala'.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan telah bertindak mengeluar notis kepada premis perniagaan haram yang dibina di atas rizab jalan di Jalan Selayang Baru agar merobohkan premis mereka dalam tempoh 14 hari.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berharap, tindakan tersebut dibuat tanpa 'memilih bulu' selepas menerima aduan daripada pelbagai pihak.

Katanya, tindakan tegas perlu dilakukan sekiranya pemilik premis perniagaan haram masih berdegil tidak mahu merobohkan premis perniagaan mereka selepas melepasi tempoh notis yang diberikan.

“Nampaknya PTG bertindak proaktif selepas masalah tersebut dibangkitkan dalam akhbar tetapi kita tidak mahu PTG hanya sekadar mengeluarkan notis.

“Kita mahu ada tindakan konkrit diambil termasuk merobohkan premis haram tersebut sekiranya masih berdegil termasuklah premis perniagaan yang begitu kebal selama ini.

"Ini kerana premis-premis haram tersebut menghalang projek rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosli berkata, berdasarkan pelan pelebaran jalan yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan, ia akan melibatkan beberapa bangunan yang dimiliki peniaga-peniaga besar yang didapati dibina sehingga 25 meter memasuki ke kawasan tanah Wilayah Persekutuan.

“Saya dimaklumkan pemilik bangunan berkenaan mendapat kebenaran menduduki sementara tetapi sudah tamat tempoh. Mereka juga dikatakan memohon untuk sambungan kebenaran menduduki tetapi masih belum diluluskan.

Artikel Berkaitan:

“Apabila projek pelebaran hendak dilakukan di kawasan tersebut, saya pasti permohonan itu tidak akan diluluskan.

“Sebab itu saya mohon kepada PTG agar tidak ‘pilih bulu’ dan hantar notis perobohan premis kepada semua peniaga besar dan kecil di kawasan tersebut, tambah pula ada peniaga yang bina bangunan kekal tanpa kelulusan PBT (pihak berkuasa tempatan),” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kewujudan premis perniagaan haram yang dibina di atas rizab jalan menyebabkan projek pelebaran jalan di Selayang Baru tidak dapat dilaksanakan mengikut tarikh dan spesifikasi yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Jangan tangguh projek pelebaran jalan'

Kedegilan pemilik untuk merobohkan premis haram mereka walaupun telah mendapat surat arahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengundang tanda-tanya, apakah mereka ini terlalu kebal daripada sebarang penguatkuasaan undang-undang.

Apa yang dikesalkan ialah kedegilan pemilik premis haram itu menyebabkan projek pelebaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong di kawasan itu tertangguh sehingga mengakibatkan kesesakan yang teruk terutama ketika waktu puncak.

Malah, Rosli turut mendedahkan bahawa penguatkuasaan yang lemah dan longgar oleh pihak PBT menjadi antara punca yang menyebabkan pemilik premis perniagaan haram di tanah rizab jalan di kawasan Selayang Baru menjadi ‘besar kepala’.

Rosli berkata, syarat untuk mendirikan bangunan di tanah yang diduduki sementara adalah bangunan itu perlu dibina berasingan dan tidak boleh bersekali dengan bangunan yang didirikan di tanah kekal.

“Ini disebabkan tanah itu adalah peruntukan sementara dan bangunan dibina di kawasan berkenaan boleh diroboh pada bila-bila masa. Kita tengok siapa pula yang akan menjadi hero selepas ini,” katanya dengan nada sinis.

Rosli berkata, beliau akan membuat laporan berhubung perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Menurutnya, ia bagi menyiasat kemungkinan besar wujudnya skandal dan penyelewengan sehingga timbulnya masalah tersebut.