Wanita hanyut dua hari di laut

Stein kini dirawat di hospital kerana mengalami dehidrasi.
Stein kini dirawat di hospital kerana mengalami dehidrasi.
A
A
A

WELLINGTON - Latihan kelangsungan hidup di laut berjaya menyelamatkan wanita ini yang hanyut dengan menaiki bot getah selama dua hari berhampiran Greece pada Jumaat lalu.

Kushila Stein, 45, dari New Zealand diselamatkan dari Laut Aegean di utara Crete kelmarin.

Sepanjang tempoh 37 jam itu, Stein dilaporkan hanya memakan gula-gula dan menyelimuti tubuhnya dengan beg plastik.

Pelayar berpengalaman itu turut memakai beg merah pada kepalanya dan menggunakan cermin untuk menarik perhatian kapal dan pasukan penyelamat.

Wanita itu turut menulis nama ibunya dan maklumat yang boleh dihubungi pada tepi bot getah tersebut jika perkara tidak diingini berlaku pada dirinya.

Pengawal Pantai Greece yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama enam kapal dan sebuah helikopter akhirnya menjumpai wanita itu pada jarak 101 kilometer antara Crete dan Folegandros.

Kejadian itu berlaku selepas Stein membantu seorang lelaki British dikenali sebagai Mike belayar dari selatan Turki ke Athens.

Ketika dalam perjalanan, wanita terbabit mahu 'meregangkan kakinya' dan kemudiannya membuat keputusan untuk menaiki bot getah ke Pulau Folegandros.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Stein gagal kembali semula ke kapal layar Rival 34 terbabit dan bot tersebut dibawa ke tengah laut akibat tiupan angin kencang dan kehilangannya terus dilaporkan kepada pihak berkuasa pada Sabtu lalu.