Amang seksual: Reman wanita disambung 3 hari

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Reman seorang ibu yang dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun disambung selama tiga hari, bermula Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, reman terhadap wanita berusia 33 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Selangor pagi tadi.

"Sambung reman hingga 10 Mei 2023 (Rabu)," jawabnya ketika dihubungi Bernama petang ini.

Pada 4 Mei lepas, Bernama melaporkan seorang ibu lima anak direman lima hari bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Wanita itu ditahan di kediamannya di Puncak Alam, dekat sini pada 2 Mei selepas polis menerima laporan daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendapat maklumat mengenai perbuatan itu menerusi sebuah video yang diperoleh daripada individu tidak dikenali. - Bernama