Sabah diminta bina rumah untuk pesara polis

Persatuan Bekas Polis Malaysia
Persatuan Bekas Polis Malaysia
A
A
A

KOTA KINABALU - Persatuan Bekas Polis Malaysia meminta kerajaan negeri Sabah mempertimbang cadangan mewujudkan perumahan khusus untuk pesara polis di negeri ini bagi membantu golongan berkenaan memiliki kediaman sendiri.

Cadangan itu merupakan antara 11 resolusi dikemukakan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kunjungan hormat persatuan berkenaan yang berlangsung selama hampir satu jam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah, di sini hari ini.

Presidennya Hussin Awang Ngah berkata resolusi itu dicapai secara kolektif dalam mesyuarat jawatankuasa persatuan tersebut pada 10 Disember lepas.

"Perumahan untuk pesara polis adalah sebagai menghargai jasa serta sumbangan mereka dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Selain itu, masih ramai lagi pesara dan balu polis yang tidak mempunyai rumah sendiri.

"Justeru, kita perlu mengambil perhatian serius perkara ini dan memohon ia dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kunjungan hormat itu. Turut hadir Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia cawangan Sabah Awang Kassim Awang Gemok.

Hussin berkata selain resolusi mewujudkan perumahan pesara polis, pihaknya turut memohon geran tahunan bagi memudahkan persatuan tersebut menjalankan aktiviti di setiap cawangannya di Sabah.

Beliau berkata secara keseluruhannya, ketua menteri memberi respon baik dan bersetuju dengan kesemua resolusi dikemukakan, namun akan mempertimbang resolusi tersebut berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Hussin turut melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada ketua menteri yang telah mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM100,000 kepada persatuan itu di Sabah bagi kegunaan pengurusan persatuan termasuk menjalankan program kebajikan.

Artikel Berkaitan:

Seramai 140,000 bekas polis menjadi anggota persatuan itu di seluruh Malaysia dan hampir 6,000 daripadanya adalah pesara polis di Sabah. - Bernama