Buku ajaib dengan teknologi AR

DIPAK (kiri) dan Pengarah Kanan Projek Sunsuria Berhad, Wong Chiew Meng (tiga dari kiri) bersama sebahagian koleksi buku yang ada di BookXcess Sunsuria Forum.
A
A

KOLEKSI buku ajaib yang dilengkapi dengan teknologi Augmented Reality (AR) pastinya menjadi tarikan buat ibu bapa untuk berkunjung ke BookXcess Sunsuria Forum yang terletak di 7th Avenue, Setia Alam, Selangor.

Bukan sahaja 15 judul buku ajaib dengan pelbagai cerita fantasi dijual secara eksklusif, malah kedai yang pertama dalam negara berkonsepkan terowong buku itu turut memberikan pengalaman cukup menakjubkan buat si kecil.

Masakan tidak, kanak-kanak boleh membaca, bermain di dalam mini maze dan belajar dengan buku ajaib yang didatangkan dengan teknologi canggih bagi merevolusikan pembacaan serba interaktif lagi mengasyikkan.

Mengulas mengenainya, Ketua Pegawai Pemasaran BookXcess, Dipak Madhavan berkata, pihaknya sentiasa mencari cara baharu bagi menggalakkan amalan suka membaca dalam kalangan masyarakat termasuk konsep terowong buku.

“Struktur dan konsep unik itu akan menarik para pembaca dan mengubah fikiran mereka untuk membawa pulang senaskhah atau dua naskhah buku. Buku dan ilmu pengetahuan merupakan faktor utama untuk mengubah dunia.

“Semoga masyarakat sekeliling teruja dengan kewujudan kedai buku ini dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga serta rakan sambil mencari buku kegemaran mereka,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

KEUNIKAN terowong buku yang menjadi tarikan di BookXcess Sunsuria Forum.
KEUNIKAN terowong buku yang menjadi tarikan di BookXcess Sunsuria Forum.

Mengenai konsep berorientasikan kekeluargaan dan elemen pengayaan kanak-kanak, Pengarah Kanan Projek Sunsuria Berhad, Wong Chiew Meng pula berkata, pihaknya percaya tempat itu akan menjadi pusat bualan masyarakat.

“Selain aneka kemudahan, pilihan makanan dan minuman, BookXcess akan mendapat faedah yang besar daripada komuniti sekitar khususnya keluarga yang mengutamakan kepentingan membaca dalam kehidupan seharian.

“Pembukaan BookXcess di Sunsuria telah menjadi satu pengiktirafan kepada kami dalam usaha ke arah pembangunan berintegrasi yang mempunyai kawasan membeli-belah, suite SOHO, pejabat korporat dan kediaman berservis yang dalam pembinaan,” katanya.

BookXcess turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu sudut khas Red Readerhood yang bertujuan untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan buku kepada golongan memerluan.

Para pelanggan boleh memilih buku yang disediakan di sudut Red Readerhood untuk didermakan bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Amal Bistari dan Cahaya Kasih Bestari.

HIMPUNAN koleksi buku memenuhi terowong yang menjadi ikonik BookXcess Sunsuria Forum.
HIMPUNAN koleksi buku memenuhi terowong yang menjadi ikonik BookXcess Sunsuria Forum.