Ribut Tropika Pabuk: Perak ambil langkah awal

Tidak ramai orang berkunjung ke Pantai Teluk Batik.
Tidak ramai orang berkunjung ke Pantai Teluk Batik.
A
A
A

SERI MANJUNG - Semua pengusaha pelancongan di daerah ini diminta sentiasa mengikuti perkembangan semasa Ribut Tropika Pabuk melalui Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum mengadakan aktiviti kawasan pantai.

Pegawai Daerah Manjung yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, ia penting bagi mengelakkan berlakunya insiden tidak diingini di kawasan peranginan seperti Pulau Pangkor, Teluk Batik dan Teluk Senangin di kalangan pelancong.

"Buat sementara ini kami tidak menerima sebarang arahan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat mahupun Jabatan Laut agar memberhentikan sebarang aktiviti pelancongan di kawasan pantai.

"Namun saya ingin menasihati pengusaha pelancongan agar sentiasa merujuk Jabatan Laut dan Jabatan Meteorologi supaya kita dapat membendung lebih awal implikasi negatif yang boleh berlaku di pantai serta laut," katanya kepada media pada satu sidang media di Pejabat Tanah dan Daerah Manjung, di sini, hari ini.

Mohamad Fariz berkata Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) Manjung sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"JPBBD Manjung dalam apa senario dan situasi sekalipun sudah bersiap sedia 24 jam dengan jawatankuasa yang kita selaraskan bagi maksud pengurusan di bawah pentadbiran daerah seperti dilapangan operasi kita berikan kepada polis dan bomba," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di pantai Teluk Batik mendapati tidak ramai pengunjung di pantai berkenaan selain ombak besar menghempas pantai berserta tiupan angin.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan memaklumkan hujan lebat, angin kencang melebihi 60 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter akan berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak disebabkan Ribut Tropika Pabuk.

Artikel Berkaitan: