Periksa latar belakang warga asing sebelum masuk Malaysia

Musa Hassan
Musa Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu menghapuskan sebarang anasir digerakkan kumpulan pengganas yang menjadikan Malaysia sebagai transit untuk pergerakan mereka.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kerajaan juga perlu memperketatkan undang-undang terutamanya dalam isu kemasukan warga asing ke Malaysia.

“Hapuskan terus, perketatkan lagi kemasukan orang asing (ke Malaysia). Maknanya di sini sesiapa yang masuk ke Malaysia kena periksa dulu latar belakang mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ketika ditanya apakah kesan buruk yang mungkin diterima negara sekiranya terus dilabel sebagai negara transit pengganas, Musa berkata, negara lain mungkin melakukan sekatan tertentu kepada Malaysia.

“Kita akan mendapat cemuhan daripada negara-negara barat seperti Amerika Syarikat. Kemudian mereka akan kenakan sekatan kepada negara,” katanya.

Beliau berpendapat kemurahan hati rakyat Malaysia membuatkan gerakan pengganas menjadikan negara ini sebagai lokasi untuk mereka mengumpul dana.

“Orang Malaysia senang untuk memberi simpati dan mereka gunakan Malaysia untuk mendapatkan dana.

“Ia akan disalurkan kepada organisasi mereka untuk jalankan kegiatan-kegiatan keganasan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan mereka sedia maklum bahawa Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi pusat transit dan tumpuan kumpulan pengganas.

Bagaimanapun, menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak tidak akan membiarkan sebarang unsur dan aktiviti keganasan berlaku di negara ini dan usaha bagi menangani isu itu masih berterusan.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia jadi negara tumpuan, transit pengganas: Muhyiddin