Letupan periuk api di Afghanistan ragut sembilan nyawa

Lebih 8,000 kematian orang awam direkodkan untuk tempoh sembilan bulan pada 2019. - Foto AFP
Lebih 8,000 kematian orang awam direkodkan untuk tempoh sembilan bulan pada 2019. - Foto AFP
A
A
A

KABUL - Sekurang-kurangnya sembilan kanak-kanak di Afghanistan terkorban semalam selepas sebuah periuk api meletup secara tiba-tiba ketika mereka sedang berjalan ke sekolah.

Kejadian letupan itu berlaku di wilayah timur laut Takhar.

"Kawasan tersebut berada di bawah kawalan Taliban. Mereka bertindak menanam periuk api antipersonel selepas pasukan keselamatan melancarkan operasi ke atas kumpulan itu.

Malangnya, salah satu daripada periuk api itu meletup dan membunuh murid sekolah berumur sembilan hingga 12 tahun," kata jurucakap polis wilayah, Khalil Asir.

Jumlah kematian orang awam dilaporkan meningkat pada tahun ini walaupun di tengah-tengah usaha Amerika Syarikat dan Taliban untuk mencapai perjanjian damai.

Rekod Misi Bantuan PBB di Afghanistan pada bulan lalu menunjukkan 4,313 orang awam cedera atau terbunuh antara Julai dan September yang menunjukkan peningkatan 42 peratus untuk tempoh sama pada tahun lalu.

Jumlah itu termasuk lebih 1,000 kematian yang menjadi tempoh paling berdarah sejak data dikumpulkan pada 2009. - AFP

Artikel Berkaitan: