Tular video pikul motosikal rosak

Paparan video yang memaparkan motosikal rakan yang rosak diletakkan di tengah-tengah antara penunggang dan pembonceng.
Paparan video yang memaparkan motosikal rakan yang rosak diletakkan di tengah-tengah antara penunggang dan pembonceng.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Video memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal sambil membonceng rakannya yang 'meriba' motosikal rosak di lebuh raya menjadi tanda tanya dan perhatian dalam kalangan netizen.

Perkongsian video berdurasi 7 saat itu dimuat naik seorang lelaki yang menggunakan akaun @eriemzni di Twitternya kini tular dengan meraih 65,700 tontonan dan 2,800 ulang kicau.

@eriemzni atau nama sebenarnya Tengku Muhd Erie Tengku Mohd Muzani, 20, turut menulis ciapan 'Kawan macam ini kita kena hargai'.

Bercerita lanjut kepada Sinar Harian, Tengku Muhd Erie berkata, ketika kejadian, dia bersama 13 rakannya yang lain dalam perjalanan ke Senawang, Negeri Sembilan untuk makan malam bersama, namun setibanya di Rehat dan Rawat (RnR) Seremban untuk menunggu ketibaan rakan yang lain, mereka mendapat mesej seorang rakan masih di simpang Kajang seorang diri disebabkan motosikalnya mengalami kerosakan.

Hantaran yang dimuat naik oleh Tengku Muhd Erie kini tular di media sosial.
Hantaran yang dimuat naik oleh Tengku Muhd Erie kini tular di media sosial.

"Kami tidak sampai hati membiarkannya seorang diri membuat keputusan membatalkan rancangan dan patah balik untuk melihat keadaannya.

"Bila kami sampai, kami terus tengok motor dia. Rupa-rupanya tayarnya tersangkut dan syak 'bearing' dia pecah tetapi peralatan kami tidak mampu untuk membuka tayarnya kerana skru terlalu ketat.

"Dekat dua jam juga kami dekat tepi lebuh raya sehingga kami sanggup tebalkan muka untuk tahan kereta pacuan empat roda supaya boleh letak di belakang, namun langsung tiada seorang pun yang nak berhenti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tengku Muhd Erie yang merupakan seorang penghantar barang di Lazada Express berkata, dia dan rakan-rakan kemudiannya berbincang dan sebulat suara mengambil keputusan meletakkan motosikal di tengah-tengah antara penunggang dan pembonceng.

"Mungkin bagi setengah orang ini idea gila yang kami lakukan kerana boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri serta pengguna lebuh raya, namun itu sahaja cara yang kami boleh lakukan.

"Bila semua okay, kami ramai-ramai angkat motor itu letak di tengah-tengah dan meminta kawan yang berbadan sasa untuk pegang motor dibawa balik ke Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, Tengku Muhd Erie turut kecewa dengan kejadian itu kerana disaman apabila ada di antara mereka tidak membawa cukai jalan dan nombor pendaftaran di bahagian depan tidak dipasang.

"Kami faham itu kesalahan kami. Selain itu, kami cuba meminta tolong syarikat Lebuhraya Plus (berhubung kerosakan motosikal), namun dia menjawab tidak boleh disebabkan motosikal tidak bayar tol," katanya.