X

Kindly register in order to view this article
!

Lantikan MPKK, Kerajaan Pahang tak hormat rundingan awal: Fuziah

51537546529_FuziahSalleh
A
A

KUANTAN - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendakwa Kerajaan Pahang tidak hormat rundingan awal dengan melantik Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) secara senyap-senyap tanpa penglibatan wakil Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, pada awal pembentukan MPKK, pihaknya telah bermesyuarat bersama kerajaan Pahang dengan mengutarakan formula menang-menang pada 7 September tahun lalu di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

"Waktu pelantikan 13 ahli jawatankuasa MPKK, pihak saya mencadangkan mana-mana Parlimen dimenangi PH (Pakatan Harapan), pelantikan MPKK di kampung Parlimen itu hendaklah lebih kepada PH, manakala Parlimen dimenangi BN, dilebihkan orang BN.

"Kita hormat kerajaan negeri dan kita ambil inisiatif berunding. Di Kuantan, kita minta lebih sebab kita menang. Di Paya Besar, BN lebihlah kerana mereka menang. Waktu itu Menteri Besar (Datuk Wan Rosdy Wan Ismail) setuju.

"Tiba-tiba mereka dah lantik dan buat angkat sumpah tanpa pengetahuan pihak saya. Ini bermakna mereka sudah hantar nama wakil tanpa menghormati perbincangan yang dibuat. Siapa sebenarnya yang tidak hormat konsep perkongsian kuasa tadi? Kerajaan negerilah yang tidak memahami konsep perkongsian kuasa federalisme," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Gambar Fuziah (duduk kanan sekali) ketika mengadakan mesyuarat dengan kerajaan negeri September tahun lalu.
Gambar Fuziah (duduk kanan sekali) ketika mengadakan mesyuarat dengan kerajaan negeri September tahun lalu.

Beliau berkata demikian bagi membidas dakwaan Exco kerajaan Pahang yang mendakwa penubuhan MPKK Persekutuan (MPKKP) hanya akan menimbulkan perpecahan dan kesan buruk di sesebuah kampung.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya berdiam diri terhadap tindakan kerajaan negeri itu kerana khuatir berlaku perpecahan.

"Sehinggalah kerajaan mengumumkan pertambahan lima lagi ahli jawatankuasa PH sebagai pertambahan ke atas 13 MPKK. Waktu itu saya tangguh dulu penamaan wakil kerana nak lihat progres di negeri lain.

"Oleh kerana Terengganu dan Kelantan yang terlebih dahulu mengambil langkah penambahan lima MPKK pun gagal, maka kita di Pahang ambil keputusan laksana MPKKP. Seluruh 542 kampung di Pahang akan diwujudkan MPKKP," katanya.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri boleh meneruskan MPKK tetapi bukan di atas peruntukan kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Sementara itu, mengulas kenyataan Wan Rosdy untuk mewujudkan kembali Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Fuziah menyerahkan perkara itu kepada penilaian kerajaan negeri.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus