Makmal proses dadah dibongkar

Mazlan bersama sebahagian para pegawainya menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas pada Sidang Media Kejayaan Menumpaskan Sindiket Dadah dan Pembongkaran Makmal Dadah Haram di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
Mazlan bersama sebahagian para pegawainya menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas pada Sidang Media Kejayaan Menumpaskan Sindiket Dadah dan Pembongkaran Makmal Dadah Haram di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya membongkar kewujudan sebuah makmal memproses dadah hasil penahanan empat lelaki yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap dalam serbuan berasingan di Kepong dan Puchong dekat sini pada Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sejumlah dadah dianggarkan bernilai RM2.2 juta.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah pusat membeli belah di Jalan Kepong di sini, pada jam 2.10 petang Selasa lalu polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah.

“Hasil soal siasat, suspek telah membawa polis ke sebuah kondominium di Batu Caves dan pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis dadah antaranya heroin, pil yaba, syabu dan pil erimin 5 yang disembunyikan di dalam rumah itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Tangkapan yang dilakukan ke atas dua lelaki itu telah membawa kepada penahanan dua suspek lain di Jalan Metro Perdana 7, pada jam 7 dan 11 malam pada hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang dipandu oleh salah seorang suspek, polis berjaya merampas dadah dipercayai jenis heroin seberat 1,366 gram di bahagian penumpang hadapan,” katanya.

Beliau berkata, polis kemudian menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan baru di Bandar Metro Puchong dekat sini, 11 malam Rabu lepas, yang disyaki dijadikan sebagai makmal memproses dadah.

Katanya, ia berikutan penemuan penemuan sejumlah dadah jenis syabu, ketamin, serta pelbagai jenis bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan bahan terlarang tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati ​​​​​​​rumah itu disewa dengan harga RM1,800 sebulan sejak Mac tahun lepas dan kita percaya sindiket ini mempunyai kaitan dengan ​​​​​​​sebuah kumpulan kongsi gelap.

"Mereka aktif mengedar dadah di kawasan Kepong dan polis kini sedang memburu saki-baki kumpulan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang berusia 25 hingga 33 tahun itu, kini direman selama tujuh hari sehingga 5 November ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- Bernama