Nasib 12 individu terlibat LTTE ditentukan Mahkamah Tinggi

Antara 12 individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini berhubung kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - Foto Bernama
Antara 12 individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini berhubung kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nasib 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang didakwa atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sama ada dibenarkan ikat jamin atau sebaliknya hanya akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Ini memandangkan, keputusan tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini menetapkan tiada jaminan dibenarkan di mahkamah terbabit dan nasib kesemua pihak berkenaan akan ditentukan selepas dirujuk mengikut perlembagaan.

Kedua-dua ADUN itu itu termasuk G Saminathan (ADUN Gadek) dan P Gunasekaran (ADUN Seremban Jaya) manakala 10 lelaki lain ialah V Balamurugan, S Teeran, A Kalaimughilan, S Chandru, S Arivainthan, S Thanagaraj, M Pumugan, Sundram Renggan@Rengasamy, V Suresh Kumar dan B Subramaniam.

Ketika prosiding di Mahkamah Sesyen, Hakim Rozina Ayob memutuskan terdapat merit dalam permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

"Tiada sebarang perintah jaminan dibuat oleh mahkamah ini dan tiada penangguhan prosiding," katanya.

Rozina menyerahkan keputusan ini kepada Mahkamah Tinggi yang akan mendengar permohonan berkenaan kerana ia akan diuruskan oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Beliau membuat keputusan itu selepas kes Saminathan; pemandu teksi, Balamurugan; penghantar surat, Teeran dan peniaga besi buruk, Kalaimughilan, masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P Gunasekaran didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini berhubung kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - Foto Bernama
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P Gunasekaran didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini berhubung kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - Foto Bernama

Teeran turut didakwa atas pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE manakala Kalaimughilan menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial YouTube dan turut didakwa memberi sokongan kepada kumpulan itu pada satu majlis di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan lebih kurang jam 8 malam hingga 11.30 malam, 17 Mac 2014.

Dalam prosiding kelmarin, peguam Ramkarpal Singh yang mengetuai pembelaan memohon supaya kesemua tertuduh dibenarkan jaminan atas budi bicara mahkamah dengan alasan penahanan anak guamnya di bawah SOSMA adalah tidak berperlembagaan selain memohon agar permohonan jaminan itu dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Semalam permohonan jaminan itu disebut di tiga Mahkamah Sesyen berasingan termasuk Mahkamah Sesyen (MSJ) 8,9 dan 14 kerana kelmarin kesemua tertuduh masing-masing dihadapkan di mahkamah berasingan.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen (MSJ)14,di hadapan Hakim Azman Ahmad, Ramkarpal memaklumkan bahawa permohonan untuk merujuk isu perlembagaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA telah dibuat untuk ketiga-tiga mahkamah termasuk mahkamah ini.

"Hari ini sepatutnya ditetapkan bagi mendengar hujahan berhubung permohonan kami, tetapi Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah (MSJ) 8 iaitu Rozina telah membuat keputusan membenarkan permohonan kami merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan.

"Oleh kerana ketiga-tiga mahkamah mendengar isu sama dan ada keputusan di MSJ8, maka tidak perlu pihak kami mengulangi penghujahan sama di mahkamah lain.

"Maka kami mohon supaya mahkamah ini menetapkan tarikh sebutan sementara menunggu keputusan permohonan kami di Mahkamah Tinggi," katanya.

Perkara itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias.