Menjadi warga ummah

A
A
A

ADA keresahan yang sangat jelas mengenai isu kesatuan ummah. Perbahasan berterusan mengangkat masalah kesatuan terus bermain di bibir pelbagai pihak.

Dalam kalangan ulama, pemimpin politik, cendekiawan dan para aktivis, terus berdebat dan mengulangi hujah mengenai kepentingan umat Islam bersatu. Anehnya dalam 1.8 bilion umat Islam yang berTuhankan yang Satu, berqiblat yang satu, al-Quran yang satu dan berimamkan Rasul yang satu, namun mencari formula untuk menyatukan umat belum berhasil.

Kini negara umat Islam majoriti di 57 buah negara yang bergabung dalam OIC masih gagal membina kesatuan. Apatah lagi di sekitar 112 negara yang mempunyai umat Islam minoriti, keadaan lebih parah. Paling ringan umat Islam didiskriminasi dan paling berat umat Islam disembelih dan dinyahkan dari tanah airnya sendiri.

Walaupun pernyataan mengenai kewajipan bersatu jelas dalam panduan al-Quran dan dalil Sunnatur Rasul, akan tetapi yang jelas, kesatuan ummah kelihatan hanya di pentas debat dan persidangan. Secara realiti, bukan kesatuan yang semakin menyerlah malah sebaliknya perpecahan semakin dizahirkan.

Lihat sahaja OIC yang telah ditubuh sejak 1969. Tujuannya adalah untuk memupuk kesatuan ummah. Malang sekali, di sebaliknya yang berlaku. Negara umat Islam di Asia Barat saling bertelingkah sehingga berperang sesama sendiri.

Soalnya kenapa kesatuan dalam negara mahupun antara negara Muslim sukar dizahirkan? Bermula dari percanggahan pendapat sehinggalah kepada konflik bersenjata antara sesama Muslim menjadi senario yang ketara. Khilaf antara pemimpin politik sehinggalah perbalahan antara ulama.

Saban hari umat terpaksa menerima realiti yang pahit iaitu perpecahan menjadi ciri paling menonjolkan dalam kalangan umat Islam masa kini. Natijahnya satu demi satu negara Islam hancur luluh.

Di Asia Barat, 22 negara Arab yang merupakan satu rantau yang memiliki satu bahasa, satu agama (majoriti Islam) dan satu bangsa, berpecah dengan sangat parah. Satu demi satu negara Arab bergolak bukan sahaja antara sesama rakyat dalam setiap negara malah antara satu negara dengan satu negara yang lain.

Artikel Berkaitan:

Walhasil, sumber kekayaan minyak tidak mampu dimanfaatkan untuk kekuatan ummah, di sebaliknya menjadi alat diperonda-perandakan oleh kuasa barat dan zionis yahudi.

Kini perpecahan antara negara Islam menyebabkan keadaan yang sangat menyedihkan. Majoriti pelarian dunia adalah dalam kalangan umat Islam. Majoriti yang mundur dan miskin adalah umat Islam. Majoriti negara yang berkonflik adalah negara Islam.

Akibat fahaman nasionalisme sempit nampaknya persoalan menyatukan bangsa mengambil agenda paling utama. Faham nasionalisme kaum inilah yang diguna oleh kuasa barat untuk memecahbelahkan umat Islam. Kaum Muslimin lebih bertelagah antara satu sama lain kerana agenda perkauman. Mereka berpolemik dan berkonflik sempadan dan bangsa yang berbeza keturunan.

Sudah sampai masanya umat Islam sebagai sebuah komuniti memberi penekanan kepada konsep 'kewarganegaraan ummah global', merentasi sempadan dan bangsa.

Konsep ini memang sukar untuk direalisasikan tetapi secara semangat dan idealisme, ia perlu menjadi agenda utama. Identiti diri sebagai warga ummah seharusnya menjadi pengenalan, bukan hanya kewarganegaraan bangsa yang sempit.

Umat harus mengutamakan bahawa kerana kita seaqidah, satu Tuhan, satu al-Quran, satu qiblat, berimamkan Rasulullah sebagai teladan, maka kita adalah warga ummah. Lantaran itu kita bersatu sebagai umat yang kukuh dalam memelihara kebersamaan bukan perbedaan.

Dengan sentimen kesatuan dalam warga ummah kita mengelakkan rasa asobiyyah sempit. Bangsa adalah suatu identiti yang diiktiraf, akan tetapi persaudaraan berteraskan Islam adalah utama.

Sudah sampai masanya kita tidak membenarkan sentimen perkauman membelah antara sesama umat Islam. Semua bangsa dihargai sebagai ciptaan ALLAH, namun ALLAH menuntut kita menghayati seruan kesatuan ummah.

Sikap saling berkenalan iaitu 'litaaruf' dihujungi dengan seruan bahawa martabat seseorang adalah diukur atas ukuran ketaqwaan bukan atas ukuran perkauman.

Ruh ummah diikat dengan mengadap satu qiblat iaitu ke arah Kaabah di Baitul Haram iaitu Makkah Al Mukarramah. Ruh Makkah sepatutnya menjadi penyatuan kita. Makkah adalah ibu negara bagi semua umat Islam. Kita tidak boleh membiarkan Makkah diubah menjadi kota komersial seperti yang kini sedang dilakukan oleh pemerintah Saudi. Kota Makkah kini semakin sirna sebagai kota rohani, malah menjadi kota kapitalis.

* Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu