Majlis Setiausaha PH selar laporan akhbar bahasa Inggeris, Cina

Kenyataan media oleh Majlis Setiausaha PH berhubung isu berkenaan.
Kenyataan media oleh Majlis Setiausaha PH berhubung isu berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menyelar tindakan sebuah akhbar berbahasa Inggeris dan Cina yang mengeluarkan laporan tidak sahih mengenai projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) dan dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Kewangan ‘de facto’.

Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan bersama berkata, laporan itu disebarkan bagi mempengaruhi pandangan dan persepsi orang ramai terutama menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam telah melaporkan di muka hadapan kononnya projek RTS akan ditangguhkan selama enam bulan. Berita itu adalah palsu.

“Hakikatnya, Dr Mahathir hanya membuat pengumuman mengenai projek RTS secara rasmi pada jam 3 petang semalam,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan itu dilihat untuk mengurangkan sokongan terhadap PH.

“Sebuah akhbar berbahasa Cina pula melaporkan kajian selidik yang mendakwa bahawa Dr Mahathir adalah Menteri Kewangan ‘de facto’ dan kononnya pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memegang jawatan dalam kebanyakan GLC yang menguasai kewangan kerajaan.

“Niatnya untuk memperlihatkan kepada pengundi bukan Melayu bahawa Menteri Kewangan sebenarnya tidak mempunyai kuasa dan hanyalah boneka manakala kerajaan PH dikuasai oleh Dr Mahathir dan rakan-rakan," katanya.

Menurut kenyataan itu, maklumat serong yang dikemukakan sebuah badan pemikir kononnya penstrukturan semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bertujuan memperkukuh kekuatan Perdana Menteri dan Bersatu jelas mengelirukan.

Artikel Berkaitan:

“Selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14), proses penstrukturan semula oleh kerajaan melibatkan perubahan agensi merentas kementerian,” katanya.

Justeru menurut kenyataan itu, orang ramai perlu berhati-hati dengan media yang masih dikawal dan tidak mudah percaya dengan propaganda tersebut.

“Majlis Setiausaha PH menggesa orang ramai berhati-hati dalam membuat penilaian terhadap kerajaan PH di saat media diberikan kebebasan,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Amanah, Datuk Anuar Tahir dan Setiausaha DAP, Anthony Loke Siew Fook.