Jaga kepentingan rakyat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BELANJAWAN 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum ini mencadangkan penurunan harga minimum bagi hartanah untuk warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000, bagi mengatasi lambakan rumah tidak terjual.

Dasar tersebut dijangka akan dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sementara kerajaan negeri akan menetapkan sendiri nilai ambang kerana bidang kuasa urusan tanah adalah tertakluk di bawah mereka.

Matlamat utama dasar tersebut adalah untuk mengurangkan lebihan kondominium dan pangsapuri tidak terjual di negara ini kerana pada suku tahun kedua 2019, kondominium dan pangsapuri tidak terjual bernilai RM8.3 bilion.

Bagaimanapun, langkah tersebut mendapat reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk Persatuan Pembeli-pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan pembangkang.

Menurut mereka, kewujudan hartanah kediaman mewah secara berlebihan berpunca daripada tindakan pemaju yang tamak.

Fomca pula berpandangan jika penurunan harga minimum itu diturunkan ia akan menyebabkan pengguna tempatan tidak dapat membeli rumah kerana pemaju akan menjualnya kepada warga asing yang kaya.

Pembangkang pula mendakwa kedaulatan negara bakal tergadai apabila lebih ramai warga asing memiliki hartanah berbanding rakyat tempatan.

Untuk rekod sejak Januari hingga Jun lalu, jumlah pemilikan rumah mewah kepada warga asing amat rendah iaitu 398 orang atau 0.4 peratus, berbanding pemilikan rakyat tempatan iaitu 99,524 orang bersamaan dengan 99.6 peratus.

Artikel Berkaitan:

Tindakan kerajaan untuk menurunkan harga minimum bagi hartanah untuk warga asing dipercayai ada kaitan dengan amaran daripada Bank Negara mengenai lebihan hartanah kediaman tidak terjual setiap tahun sejak tahun 2017.

Difahamkan lebihan penawaran itu semakin buruk akibat kekurangan rumah mampu milik, menyebabkan penawaran dan permintaan tidak sepadan.

Ini kerana semakin ramai pemaju menjual kondominium dan harga yang ditawarkan meningkat jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan pendapatan.

Keadaan itu turut menyebabkan harga rumah di negara ini dikategorikan sebagai tidak mampu milik.

Menurut data dari Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), jumlah bilangan harta kediaman tidak terjual pada 2017 dalam semua kategori adalah sebanyak 24,738 unit bernilai RM15.64 bilion.

Ekoran daripada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di Parlimen kelmarin mendedahkan Malaysia berpotensi menjadi negara usang dan tidak ‘berpenghuni’ jika isu lambakan rumah yang tidak terjual, tidak diselesaikan segera.

Jelas beliau, keadaan itu menggusarkan kerana sehingga kini, kira-kira RM100 bilion nilai rumah yang tidak terjual direkodkan.

Sehubungan itu, kita berharap agar apa sahaja usaha yang bakal diambil oleh kerajaan dalam menangani isu tersebut, kepentingan rakyat perlu terus dijaga.