Imigresen tahan 10 PATI

MDKL menyita premis itu kerana tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.
MDKL menyita premis itu kerana tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.
A
A
A

BANTING – Sepuluh pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Selangor dalam operasi bersepadu di sekitar Telok Panglima Garang pagi tadi.

Serbuan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Pasar Awam Banting turut merampas rokok seludup dan menyita dua premis kerana tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, operasi dijalankan bagi memantau peniaga yang menggunakan khidmat PATI sekaligus mengekang aktiviti monopoli perniagaan oleh pendatang haram terbabit.

Menurutnya, bagi kesalahan menggunakan warga asing tanpa permit sah, peniaga boleh didakwa di bawah Seksyen 55B, Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

"Dalam operasi yang sama, Jabatan Kastam turut menyita dan merampas rokok seludup, peniaga terbabit berdepan tindakan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan dan menjual rokok putih serta kretek tanpa duti import.

"Pihak MDKL juga tidak berkompromi kepada peniaga yang ingkar dengan mengarahkan dua premis haram ditutup serta-merta," katanya.

Menurutnya, MDKL hanya membenarkan peniaga warganegara tempatan dan mempunyai lesen sah sahaja untuk menjalankan perniagaan di daerah Kuala Langat.

Katanya, jika orang ramai mempunyai maklumat berkaitan peniaga warga asing bolehlah membuat aduan kepada Jabatan Imigresen berhampiran untuk tindakan seterusnya.

Artikel Berkaitan: