Jual MyKad: De Qun nafi paling dikehendaki di China

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Ahli perniagaan warga China, Wang De Qun, 58, menafikan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia individu paling dikehendaki di China bagi kesalahan korporat.

De Qun, saksi pendakwaan bagi kes enam individu yang didakwa mengeluar dan menjual sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing berkata, beliau tidak bersetuju dengan soalan yang dikemuka peguam Mohd Hisham Nazir yang mewakili Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang Mohd Faizul Arifin, 34.

Saksi itu turut tidak bersetuju dengan cadangan Mohd Hisham bahawa atas status 'dikehendaki' dia terpaksa menipu dan mencari pasport palsu.

De Qun berkata demikian pada prosiding deposisi kes enam individu yang berdepan pertuduhan mengeluar dan menjual sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

Individu berkenaan ialah Mohd Faizul, Mohd Faizal Tan Abdullah, 66; Yap Cheng Wah, 43; Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36, dan ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56.

De Qun juga tidak bersetuju dengan soalan peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon yang mewakili Chien dan Mohd Faizal bahawa beliau mengaku bersalah bagi kesalahan memiliki pasport palsu dan dikenakan penjara tiga bulan berserta syarat akan bekerjasama dengan polis dan menjadi saksi utama pendakwaan.

Ahli perniagaan dari China itu kini sedang menjalani hukuman penjara tiga bulan yang akan berakhir pada 13 November ini selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki pasport palsu mengikut Seksyen 12(1)(d) Akta Pasport 1966.

Pada prosiding itu juga, De Qunmenafikan yang beliau pergi bersendirian ke tingkat tiga di sebuah bangunan bagi urusan mendapatkan pasport selepas diberitahu untuk ke situ semasa pertemuan di sebuah hotel.

Artikel Berkaitan:

Ranjit ketika menyoal De Qun berkata terdapat rakaman menunjukkan Wang secara sendiri pergi ke lif dan menekan butang menuju ke tingkat tiga bangunan itu.

De Qun memberikan keterangan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir di dalam bahasa Mandarin yang kemudian diterjemah oleh jurubahasa mahkamah ke dalam bahasa Melayu.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Mac depan untuk pengurusan kes tersebut.

Mohd Faizul, Mohd Faizal Tan, Cheng Wah, Chan Cheong dan Guan Chai masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala Lai turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengikut seksyen yang sama.

Mohd Faizul menghadapi dua pertuduhan membuat dokumen pengenalan diri fraud iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng bagi maksud memudahkan suatu perbuatan penyeludupan migran di Ibu Pejabat JPN Negeri Pulau Pinang Bangunan Persekutuan, Jalan Anson, di sini antara Januari hingga Februari 2019.

Mohd Faizal Tan, Cheng Wah, Chan Cheong dan Guan Chai masing-masing didakwa atas dua pertuduhan menjual sijil kelahiran dan kad pengenalan atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan Georgetown pada tempoh yang sama.

Chin Wah pula didakwa atas tiga pertuduhan menjual sijil kelahiran, kad pengenalan dan pasport atas nama Ewe Chor Beng di sekitar kawasan George Town antara Januari hingga Mac 2019.

Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 15 tahun serta boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!