Lebih sejam tangkap ular sawa bunting 120kg

APM Hulu Perak berjaya menangkap ular sawa seberat 120kg yang di ladang getah Felda Lawin Utara hari ini.
APM Hulu Perak berjaya menangkap ular sawa seberat 120kg yang di ladang getah Felda Lawin Utara hari ini.
A
A
A

GERIK - Lapan anggota Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Perak mengambil masa kira-kira 90 minit untuk menangkap seekor ular sawa bunting seberat 120 kilogram (kg) di Felda Lawin Utara di sini hari ini.

Ular sawa betina sepanjang lima meter itu ditemui oleh seorang lelaki ketika melakukan kerja-kerja menebas semak di sebuah ladang getah.

Anggota APM, Koperal (PA) Muhammad Zulfikar Mohd Pizi berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 9.15 pagi.

"Reptilia tersebut ditemui dalam keadaan melingkar di kawasan semak tebal dan anggota bertindak menggunakan peralatan menangkap ular.

"Selain berat, haiwan ini agak agresif ketika dibawa keluar dari semak itu. Lebih sejam diperlukan untuk memasukkan ular ini ke dalam sangkar," katanya.

Menurutnya, ular tersebut diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum dihantar ke habitat asal.

Artikel Berkaitan: