Pencemaran udara: Saran tutup sekolah, acara sukan dibatalkan

Keadaan pencemaran udara di New Delhi. - Foto Agensi
A
A

NEW DELHI - Sekumpulan doktor dan penduduk menggesa pihak berkuasa New Delhi menutup sekolah dan membatalkan acara sukan di kawasan terbuka ekoran tahap pencemaran udara di ibu kota India itu kekal pada paras berbahaya bagi tempoh dua hari berturut-turut.

Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat (CPCB) dalam garis panduan pencemaran udara berkata, kebakaran ladang di negara jiran mengakibatkan asap menyelubungi ibu negara itu dan memerangkap asap beracun yang boleh mengancam kesihatan 20 juta penduduknya.

Indeks kualiti udara CPCB dilaporkan melebihi 400 iaitu skala berbahaya yang boleh menjejaskan penduduk yang mempunyai masalah pernafasan selain mereka yang sihat.

Bacaan pencemaran di beberapa kawasan juga dilaporkan sudah mencatatkan angka 500 iaitu tahap paling berbahaya mengikut skala yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Ia membabitkan isu kecemasan kesihatan awam. Hari ini, keadaan paru-paru kita lebih hitam berbanding 20 tahun lalu,” kata pakar perubatan Hospital Ram Manohar Lohia, Desh Deepak.

Susulan itu, beberapa kumpulan penduduk New Delhi dan doktor memuat naik mesej di Twitter bagi menggesa pihak berkuasa menutup sekolah sehingga tahap kualiti udara bertambah baik.

Sementara itu, kerajaan juga memerintahkan penutupan aktiviti pembinaan dan loji kuasa berasaskan arang batu.

Bermula minggu depan, New Delhi menyekat penggunaan kenderaan persendirian di jalan raya sebagai langkah mengurangkan pencemaran. - Agensi