Jerebu toksik: ASEAN aktifkan amaran tahap tertinggi

SINGAPURA - Kebakaran hutan dan tanah yang masih berlaku di Indonesia sehingga beberapa kawasan di Asia Tenggara diselubungi jerebu toksik mencetuskan amaran tahap tertinggi oleh pusat pemantauan iklim dan kebakaran serantau ASEAN.
"Amaran Tahap Tiga diaktifkan di kawasan selatan rantau itu," menurut kenyataan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) Singapura menerusi laman webnya pada Sabtu.
ASMC yang berpusat berhampiran Lapangan Terbang Changi menggunakan sistem amaran empat peringkat bermula dari Tahap Sifar hingga Tahap Tiga yang merujuk kepada risiko tinggi berlakunya jerebu rentas sempadan yang teruk.
Keadaan itu merangkumi jumlah titik panas yang ketara dan berterusan, jerebu asap sederhana hingga tebal dalam tempoh 48 jam, cuaca kering berpanjangan dan tiupan angin yang membawa jerebu toksik ke negara jiran ASEAN. Amaran serupa telah diaktifkan sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 26 Ogos dan 27 Mac lalu.
Jerebu yang berlarutan selama beberapa bulan itu mengganggu kehidupan penduduk di sebahagian besar Asia Tenggara, termasuk menyebabkan penutupan sekolah dan peningkatan aduan berkaitan masalah pernafasan.
Dalam perkembangan berkaitan, gelombang protes dilaporkan tercetus di beberapa kawasan di Indonesia susulan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap tindakan kerajaan menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin meluas.
Penunjuk perasaan menuntut kerajaan mempergiat usaha memadamkan kebakaran, mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat yang bertanggungjawab dan memperkukuh perlindungan terhadap masyarakat yang terjejas akibat jerebu toksik
Susulan api yang terus merebak, asap daripada kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan turut dikesan di atmosfera Jakarta.
Perkembangan itu berlaku ketika operasi yang diselaraskan dengan beberapa agensi masih berdepan kesukaran disebabkan keadaan cuaca dan kekurangan sumber air.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

