Manipulasi mata wang AS: Malaysia hanya dalam senarai pemantauan

Guan Eng - Foto Bernama
Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia hanya dimasukkan dalam senarai pemantauan manipulasi mata wang Amerika Syarikat (AS), tetapi tidak dilabel sebagai memanipulasi (manipulator) mata wang negara tersebut.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ia kemungkinan untuk Malaysia dilabelkan sebagai manipulor mata wang AS adalah rendah berikutan negara perlu 'memenuhi' tiga kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Perbendaharaan AS untuk dilabel sebagai manipulator mata wang.

"Malaysia tidak memenuhi satu daripada tiga kriteria yang ditetapkan iaitu jumlah pembelian mata wang asing bersih sekurang-kurangnya dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh bank pusat kerana kita bukan pembeli bersih," katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ronald ingin tahu mengenai laporan Bloomberg yang menyatakan Malaysia berkemungkinan akan dimasukkan semula dalam senara negara yang memanipulasi mata wang AS dan kesannya kepada ekonomi negara.

Guan Eng menjelaskan Malaysia hanya memenuhi dua kriteria lain iaitu nisbah akaun semasa akaun pembayaran mencatatkan sekurang-kurangnya dua peratus daripada KDNK dan untuk tempoh Julai 2018 hingga Jun 2019, ia mencapai tahap tiga peratus.

Katanya kriteria lain ialah Malaysia mencatat lebihan dagangan dua hala dengan AS melebihi US$20 bilion, dan untuk tempoh Julai 2018 hingga Jun 2019, ia mencatat sebanyak AS$25.7 (RM107.4) bilion.

"Melalui pencapaian positif ini, Malaysia dimasukkan dalam senarai pemantauan, tetapi kerajaan akan memastikan ia sekadar dalam senarai itu.

"Kalau boleh kita mahu dikeluarkan, tetapi bukan dengan melihat prestasi kewangan kita jatuh menjunam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng juga berkata, Malaysia tidak akan dilabelkan sebagai manipulator mata wang berikutan negara sentiasa akur dengan semua peraturan yang ditetapkan sama ada oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) atau mana-mana standard piawaian antarabangsa.

Menjawab soalan tambahan berhubung senarai pemantauan itu yang mungkin dijadikan sebagai alasan untuk kerajaan AS mengenakan sekatan ke atas Malaysia seperti tarif, Guan Eng berkata ia adalah perkara yang diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Beliau berkata jika dikenakan sekatan, sudah tentu ia akan membimbangkan negara kerana AS adalah rakan dagang ketiga terbesar dan ini akan memberi impak kepada aktiviti perniagaan dan aset pelaburan negara, malah pelaburan langsung asing (FDI) yang terbesar pada masa ini ialah AS.

"Masalahnya apabila melihat dasar baharu kerajaan AS, mereka seakan-akan tidak mahu mematuhi peraturan yang mereka sendiri gubal atau kemukakan dan sekarang mereka hendak buat secara unilateral.

"Malaysia meminta AS menegakkan sistem multilateralisme dalam perdagangan atau ekonomi supaya tiada konfrontasi melalui sekatan ekonomi dan tarif tetapi melalui perbincangan," katanya.

Guan Eng turut menegaskan Malaysia tidak pernah menurunkan nilai mata wang secara sengaja kerana ia berdasarkan kuasa pasaran untuk menentukan nilai mata wang ringgit.

"Jika melihat kepada trend, terdapat negara lain yang cenderung untuk merendahkan nilai mata wang untuk memastikan eksport lebih murah dan mudah untuk menembusi pasaran dunia.

"Bagaimanapun, kita tidak berbuat demikian kerana kalau ringgit turun terlalu rendah, kesannya inflasi akan naik.

"Mujur Malaysia mempunyai kadar inflasi yang masih terkawal, malah dianggap antara paling rendah dalam sejarah ekonomi dan tahun ini tidak akan mencecah satu peratus," katanya. - Bernama