Jumlah mangsa banjir Kuala Selangor menurun

Keadaan rumah penduduk di daerah Kuala Selangor yang dilanda banjir.
Keadaan rumah penduduk di daerah Kuala Selangor yang dilanda banjir.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jumlah mangsa banjir di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Selangor menurun daripada 873 mangsa jam 2 petang semalam kepada seramai 854 mangsa sehingga jam 8.19 pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Hafisham Mohd Noor berkata, seramai 604 mangsa daripada 273 keluarga ditempatkan di PSS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang.

Menurutnya, seramai 132 mangsa daripada 44 keluarga berada di SK Pasangan manakala 70 mangsa daripada 47 keluarga ditempatkan di SK Ijok.

"Di SK Jaya Setia pula menempatkan 48 mangsa daripada 15 keluarga," katanya.

Hafisham berkata, PPS mangsa banjir di SK Parit Mahang dan SK Jaya Setia mula dibuka pada 25 Oktober lalu.

"SK Ijok 26 Oktober dan SK Pasangan pula pada 28 Oktober lalu," katanya.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan tiga sekolah kebangsaan di daerah Kuala Selangor ditutup bermula semalam berikutan digunakan sebagai PPS mangsa banjir yang melanda beberapa kawasan rendah di daerah terbabit.

JPN Selangor dalam kenyataan medianya memberitahu, tiga sekolah terlibat adalah SK Parit Mahang, SK Ijok dan SK Pasangan.

Artikel Berkaitan: