Kementerian Luar kerjasama dengan Jordan

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar telah memulakan usaha mengumpul maklumat bagi melaksanakan keputusan kerajaan membuka pejabat perwakilan diplomatik Malaysia ke Palestin di Amman, Jordan.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Kementerian Luar Malaysia dan Kementerian Luar Jordan sedang bekerjasama bagi mengena pasti proses untuk merealisasikan hasrat kerajaan Malaysia dalam hal itu.

"Bagi lokasi pejabat perwakilan itu, kementerian berpandangan bahawa adalah lebih praktikal bagi pejabat perwakilan ditempatkan di Amman, Jordan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

“Ini sebab utama Malaysia tidak boleh membuka pejabat perwakilan di Ramallah di Tebing Barat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) yang meminta kementerian menyatakan butir-butir perancangan kerajaan untuk membuka kedutaan Malaysia di Amman, Jordan serta tempoh masa kedutaan akan dibuka dan beroperasi.

Jelas Saifuddin, sekiranya pejabat perwakilan ditempatkan di Ramallah, Malaysia perlu berurusan dengan Israel secara rasmi bagi perkara logistik, pentadbiran dan urusan keluar-masuk.

Mengulas cadangan Reezal Merican supaya kerajaan melantik 'honorary consul' dalam kalangan rakyat Palestin yang mempunyai hubungan baik dengan pihak Hammas dan Fattah serta pihak berkuasa Palestin, Saifuddin berkata ia adalah cadangan yang baik.

Bagaimanapun, jika diwujudkan honorary consul itu, ia harus diwakili oleh kedua-dua pihak Hamas dan Fatah sebagai langkah menyantuni mereka.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia negara kecil tetapi kita terkenal dengan diplomasi, kita memahami politik dalaman dalam kalangan masyarakat Palestin maka kita harus menyantuni mereka dengan baik," katanya.

Pada sesi itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengajak anggota dewan daripada pihak pembangkang dan kerajaan berdiri sebagai menyatakan tanda sokongan kepada kerajaan berhubung keputusan membuka kedutaan itu dengan majoriti anggota yang hadir di dewan berdiri menunjukkan sokongan mereka.

"Saya fikir dewan ini perlu merakamkan tahniah kepada kerajaan berhubung langkah mendirikan (perwakilan) dan kalau boleh kita semua berdiri sebagai tanda sokongan kepada kerajaan dalam usaha ini," katanya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di Baku, Azerbaijan mengumumkan Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin di Jordan bagi membolehkannya memberi bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih mudah. - Bernama