Lelaki didakwa 111 pertuduhan liwat isteri, cabul anak

Tertuduh (dua dari kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar selepas didakwa atas 111 pertuduhan liwat dan cabul hari ini.
Tertuduh (dua dari kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar selepas didakwa atas 111 pertuduhan liwat dan cabul hari ini.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang kakitangan awam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas 111 pertuduhan meliwat isteri dan mencabul tiga anak perempuannya sejak Mac lalu.

Tertuduh yang berusia 42 tahun terpaksa berdiri lebih sejam dalam kandang tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Lelaki yang bekerja sebagai pemandu itu didakwa atas 104 pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap isterinya yang berusia 37 tahun tanpa kerelaannya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu purata dua atau tiga kali hampir setiap hari di rumahnya di Sungai Siput di sini bermula jam 12.30 tengah malam hingga 11.30 malam pada 1 Mac hingga 3 Jun lalu.

Bapa kepada enam anak itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga turut didakwa atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga anak perempuannya berusia 12, 10 dan lima tahun di rumahnya di Sungai Siput antara jam 6 petang dan 9 malam pada 4 Mei dan 4 Jun lalu.

Enam pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama manakala, satu pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 14 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta tambahan lima tahun penjara dan dua sebatan jika membabitkan anak.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nor Izawani Ahmad Jalaludin.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan dan menetapkan 28 November sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan lantikan peguam dan serahan dokumen.

Difahamkan tertuduh dijangka akan didakwa ke Mahkamah Majistret Sungai Siput esok atas 10 lagi pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun yang sama iaitu ugutan jenayah.