[VIDEO] Pengusaha tiram terjejas akibat tumpahan minyak

Mohamad Ridzwan (kiri) menunjukkan keadaan tiram yang terjejas disyaki akibat pencemaran.
Mohamad Ridzwan (kiri) menunjukkan keadaan tiram yang terjejas disyaki akibat pencemaran.
A
A
A

SUNGAI MERBOK - [DIKEMASKINI] Kira-kira 15,000 ternakan tiram yang kebanyakannya benih masih kecil mati akibat pencemaran dipercayai berpunca daripada tumpahan minyak di perairan Sungai Merbok di sini.

Pengusaha tiram, Mohamad Ridzwan Ishak, 48, berkata, kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan 150,000 ternakan tiramnya terjejas dengan anggaran kerugian RM3,000.

Menurutnya, tindakan pantas penguatkuasaan seperti Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya menyelamatkan ternakan tiram berkenaan berdekatan Bakau Hijau, Kampung Sungai Batu Besi, Merbok, Kedah daripada terus terjejas.

Antara tiram yang terjejas disyaki akibat pencemaran.
Antara tiram yang terjejas disyaki akibat pencemaran.

"Tindakan penguatkuasaan dilakukan terhadap pemilik kapal yang ingin dilupuskan di mana mereka diarahkan mengeluarkan baki minyak dari tangki kapal yang bocor bagi mengelakkan lebih banyak tumpahan ke perairan Sungai Merbok sehingga dikhuatiri menjejaskan pengusaha lain.

"Saya berharap tiada lagi kejadian pencemaran berlaku di kawasan ini membabitkan tumpahan minyak diesel atau minyak enjin yang berpunca daripada pengusaha bot atau daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab melalui pelepasan bahan buangan secara terus ke dalam sungai," katanya.

Keadaan cengkerang terbuka adalah petanda tiram sudah mati.
Keadaan cengkerang terbuka adalah petanda tiram sudah mati.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan insiden kebocoran minyak diesel disyaki berpunca daripada sebuah kapal tersadai di tepi sungai yang ingin dilupuskan telah menjejaskan penternakan tiram dan ikan sangkar di kawasan berdekatan.

Artikel Berkaitan:

JAS kemudian mengarahkan pemilik kapal yang ingin dilupuskan agar mengeluarkan baki minyak di tangki yang berlaku kebocoran bagi mengelakkan pencemaran berterusan di perairan Sungai Merbok yang boleh membawa kepada kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

ARTIKEL BERKAITAN: Minyak bocor, pengusaha tiram rugi ratusan ribu