Minyak bocor, pengusaha tiram rugi ratusan ribu

Pemeriksaan oleh JAS Kedah terhadap kebocoran minyak diesel di perairan Sungai Merbok hari ini.
Pemeriksaan oleh JAS Kedah terhadap kebocoran minyak diesel di perairan Sungai Merbok hari ini.
A
A
A

SUNGAI MERBOK - Seorang pengusaha tiram berdepan risiko kerugian mencecah ratusan ribu ringgit setelah menyedari berlaku kebocoran diesel di perairan Sungai Merbok dekat Kampung Sungai Batu Besi petang semalam.

Mohamad Ridzwan Ishak, 48, berkata, kejadian itu disedari setelah terhidu bau busuk selain perubahan warna air di pesisiran pantai dan kematian beberapa ekor ikan ternakan.

Menurutnya, selain 150,000 ekor tiram, dia baru sahaja berjinak-jinak dalam penternakan ikan sangkar bermula bulan lalu membabitkan 1,500 ekor siakap dan jenahak.

"Sejak semalam ikan tidak diberi makan, bimbang ikan melompat atau sedut minyak, tiram pula makan plankton yang terdiri daripada sisa haiwan dan hidupan laut, bila penuh dengan minyak ni saya risau mungkin tiada makanan atau menjejaskan ternakan," katanya.

Menurutnya, sifat tiram yang sensitif dengan persekitaran tercemar akan memberi kesan kepada hidupan laut itu sekali gus memberi persepsi negatif kepada industri pelancongan Sungai Merbok.

Semalam sekumpulan pelancong dari Kuala Lumpur tidak dapat merasai tiram segar yang diusahakannya memandangkan kawasan itu telah tercemar selain pencemaran minyak yang jelas kelihatan di permukaan air.

Mohamad Ridzwan menunjukkan kebocoran minyak di permukaan air jelas kelihatan.
Mohamad Ridzwan menunjukkan kebocoran minyak di permukaan air jelas kelihatan.

"Saya tak berani angkat tiram dari dasar air sebab takut terkena minyak.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini menjejaskan kawasan ini kerana bukan sahaja tiram tidak boleh disediakan kepada pelanggan, malah air sungai juga berbau dan berminyak," katanya.

Difahamkan jeti Bakau Hijau yang diusahakan Mohamad Ridzwan merupakan persinggahan pelancong sama ada menggunakan bot daripada laluan air mahupun darat untuk menikmati hidangan tiram segar.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati kawasan terbabit telah dipantau Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Difahamkan kebocoran minyak berpunca daripada sebuah bot yang tersadai di tepi sungai untuk dilupuskan.

Sementara itu Pengarah JAS Kedah, Tunku Khalkausar Tunku Fathahi @ Fatahi berkata, siasatan mendapati insiden berpunca daripada kapal nelayan yang diarahkan untuk dilupuskan oleh Jabatan Perikanan Malaysia yang mengalami kebocoran minyak.

Menurutnya, selain itu, terdapat lapisan minyak di sekitar kapal.

"Dua sampel air sungai dan minyak dari kapal yang disyaki telah diambil untuk tujuan analisis oleh Jabatan Kimia.

"Pemilik kapal juga telah diarahkan untuk mengepam minyak yang masih berbaki dalam tangki sebagai langkah pencegahan insiden berulang," katanya.

Dalam pada itu JAS Kedah memohon agar sebarang pelupusan kapal perlu mendapat ulasan daripada JAS bagi mengelakkan minyak yang berbaki dan bahan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual dikeluarkan terlebih dahulu dari komponen kapal yang ingin dilupuskan bagi mengelakkan pencemaran.