Nekad langgar polis elak ditahan

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Razli
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Razli
A
A
A

PEKAN - Tiga penjenayah bertindak nekad cuba melanggar anggota polis dalam cubaan meloloskan diri selepas kenderaan dinaiki mereka ditahan untuk pemeriksaan di Kampung Permatang Perawan di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, anggota bertugas sempat mengelak sebelum melepaskan tembakan ke arah tayar belakang kenderaan jenis Honda Stream dinaiki penjenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Yusof berkata, dalam cubaan mereka melarikan diri, kenderaan dinaiki suspek berusia 22 hingga 36 tahun itu turut merempuh beberapa kenderaan awam sebelum berhenti di Jalan Pekan-Nenasi selepas kenderaan tersebut mengalami kerosakan.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak melarikan diri ke kawasan paya berhampiran sebuah kampung namun seorang daripada mereka berjaya ditahan.

“Suspek bertindak agresif apabila cuba menyerang anggota polis bagi mengelak ditangkap memaksa anggota melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

"Suspek yang berjaya ditahan dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Razli berkata, hasil maklumat penduduk, pihaknya berjaya menahan seorang lagi suspek di kawasan berhampiran manakala seorang lagi masih diburu.

Beliau berkata, penahanan suspek itu susulan maklumat awam diterima pihaknya berkaitan kejadian pecah bangunan sarang burung di kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan maklumat diterima, polis ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan sebelum terserempak dengan kenderaan dinaiki penjenayah.

“Suspek terbabit dipercayai turut terlibat dalam beberapa kejadian pecah bangunan sarang burung sekitar negeri ini dan Johor," katanya.

Menurutnya, semakan ke atas dua suspek yang ditahan mendapati mereka turut terlibat dengan dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek turut menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah bangunan serta perkakas menghisap dadah.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah bangunan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.