X

Kindly register in order to view this article
!

RTB Sungai Buloh tangani banjir di Kuala Selangor

Amirudin mendengar taklimat mengenai kejadian banjir melanda beberapa kawasan di Kuala Selangor di PPS SK Parit Mahang hari ini.
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan negeri berharap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh yang bakal dilaksanakan mampu menangani banjir di beberapa kawasan rendah di Kuala Selangor.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, projek yang telah diluluskan itu sedang dalam proses pembidaan dan dijangka mengambil tempoh dua tahun untuk dilaksanakan.

"Kita berharap projek ini dapat dijalankan segera kerana sebelum ini telah diluluskan, tetapi pada Jun 2018 projek ini sedang dinilai semula," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang di sini hari ini.

Selain itu, Amirudin berkata, terdapat perancangan jangka masa pendek bagi menangani bencana itu termasuk pembinaan kolam takungan.

"Ini akan diselesaikan dengan segera dalam tempoh dua minggu ini bagi memastikan banjir tidak berulang dalam tempoh projek RTB Sungai Buloh dilaksanakan," katanya.

Beliau memaklumkan terdapat tiga faktor berlaku banjir di beberapa kawasan di Kuala Selangor yang membabitkan ratusan mangsa.

"Pertama berlaku pertukaran monsun iaitu musim hujan yang bermula Oktober manakala punca kedua disebabkan pertembungan fenomena air pasang menyebabkan paras sungai di daerah tertentu seperti Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam tinggi.

"Pelepasan daripada loji rawatan air turut memberikan kesan kepada kadar atau pun paras air di daerah Kuala Selangor khususnya di Lembagan Sungai Buloh," katanya.

Ditanya mengenai bantuan kepada mangsa banjir, Amirudin berkata, kerajaan negeri mempunyai skim bantuan kepada mangsa terlibat.

"Kita akan dapatkan maklumat daripada penghulu dan ketua kampung berkaitan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan. Di samping itu, kita juga menasihatkan penduduk yang terbabit dalam banjir supaya berpindah ke pusat pemindahan.

"Kita tidak dapat menjamin keselamatan penduduk ketika mereka berada di rumah kerana air dari daerah lain mengalir ke Kuala Selangor sebahagiannya dari Gombak dan Kuala Lumpur.

"Pertembungan air luar daerah selain hujan berterusan dan fenomena air pasang menyebabkan banjir semakin buruk," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!