Ismail Sabri kesal kerajaan tidak teruskan projek litar drag

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri memberi risiko masalah sosial belia di negara ini semakin meningkat.

Beliau yang kesal dengan keputusan tersebut berkata, litar drag juga mampu menjadi platform terbaik untuk menarik lebih ramai tenaga pengajar professional untuk melatih belia dan seterusnya melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran negara.

"Kekurangan platform dan kompleks sukan permotoran ini merupakan salah satu punca peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia seperti perlumbaan haram, aktiviti samseng jalanan dan melepak.

"Menteri Belia dan Sukan seolah-olah tidak memahami aspirasi anak muda dan minat mereka dalam bidang permotoran ini. Pihak KBS diharap dapat memberi pertimbangan sewajarnya akan cadangan tersebut agar satu penyelesaian tuntas dapat diberikan dan seterusnya dapat dimanfaatkan oleh para belia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau mahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melihat sendiri kemudahan litar perlumbaan drag yang telah siap dibina di Terengganu dan Johor.

Jelasnya, ketika pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan dalam Bajet 2023 bagi pembinaan litar perlumbaan drag untuk memberi peluang kepada belia membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

"Kos pembinaan litar drag di Johor adalah pada kadar minimum seperti pembinaan litar dan pagar keselamatan sahaja berbanding di Terengganu yang menelan kos lebih tinggi kerana mempunyai tempat duduk grandstand.

"Pembinaan litar drag di Jempol, Negeri Sembilan yang siap pada tahun 2022 juga hanya melibatkan kos sebanyak RM1.3 juta iaitu satu usaha kerjasama di antara agensi swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri," katanya.

Menerusi Pemberitahuan Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat, Sidang Parlimen yang berlangsung Selasa, Hannah menjawab soalan daripada Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) sama ada KBS berhasrat meneruskan cadangan Kerajaan terdahulu untuk membina litar khusus perlumbaan drag di setiap negeri bagi memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara di samping menyediakan platform terbaik dan selamat bagi aktiviti ini dilaksanakan.

Menurut Hannah, pada masa ini KBS tidak bercadang untuk membina litar perlumbaan drag di setiap negeri berikutan kerajaan perlu menanggung kos penyelenggaraan yang sangat tinggi selain dari memerlukan pemantauan oleh tenaga pakar yang bertauliah.

Ujar beliau, KSB sedang menumpukan kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih kemudahan sukan sedia ada di bawah Kementerian dan sekiranya terdapat keperluan untuk membina litar khusus perlumbaan drag permohonan boleh dikemukakan kepada kementerian ini untuk pertimbangan selanjutnya.