Projek tebatan banjir Sungai Belat dijangka siap lebih awal

Wan Azizah ketika meninjau projek menaiktaraf dan pembinaan tebatan pencegah banjir Sungai Belat di sini sempena lawatan kerja beliau ke Kuantan hari ini.
Wan Azizah ketika meninjau projek menaiktaraf dan pembinaan tebatan pencegah banjir Sungai Belat di sini sempena lawatan kerja beliau ke Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Projek menaik taraf dan pembinaan tebatan pencegah banjir Sungai Belat di sini dijangka disiapkan lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, projek yang dibina di bawah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kuantan pakej 1 itu dimulakan pada Januari 2018 dan dijadualkan siap Januari 2021 dengan kos RM118.4 juta.

Menurutnya, berdasarkan kepada perkembangan projek terkini yang sudah di peringkat 51 peratus siap, ia dijangka dapat disiapkan sepenuhnya lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

"Kalau kita tengok perkembangan projek itu, saya percaya dan berharap ia dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Lawatan Kerja Bagi Meninjau Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Kompleks Penyayang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang di sini hari ini.

Terdahulu pada lawatan kerja itu, beliau turut turun padang meninjau tapak projek tersebut pagi tadi.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Pengarah JKM negeri, Zulkhairi Zainol Abidin dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Penolong Pesuruhjaya (PA) Zainal Yusof.

Projek di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) yang dilaksanakan Jabatan pengairan dan Saliran (JPS) Pahang itu melibatkan kawasan tadahan seluas 1,684 kilometer persegi melibatkan 16 sub lembangan sungai antaranya Sungai Belat Sungai Galing, Sungai Kenau, Sungai Pandan dan Sungai Panching.

Artikel Berkaitan:

Projek ini sebahagian daripada RM527 juta yang diluluskan kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di bawah Projek Pembangunan Lembangan Sungai bersepadu Sungai Kuantan bagi mengatasi masalah banjir dan kualiti air sungai di bandar Kuantan dan sekitarnya.

Projek itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 350,000 penduduk apabila siap sepenuhnya dengan keluasan kawasan perlindungan banjir seluas 20,000 hektar.

Ia sekaligus melegakan penduduk di kawasan perumahan sekitar Taman Guru, Perkampungan Sungai Isap, Permatang Badak dan Bukit Rangin di sini yang sering mengalami banjir akibat limpahan air sungai Kuantan, Sungai belat dan Sungai Pandan semasa musim tengkujuh.