Pesara guru rugi RM72,500 diperdaya scammer

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pesara guru mengalami kerugian RM72,500 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai polis dan pegawai bank.

Wanita berusia 60-an itu pada mulanya menerima panggilan telefon yang kononnya dari sebuah bank yang memberitahu dia mempunyai tunggakan pinjaman peribadi.

Bagaimanapun mangsa menafikan perkara berkenaan tetapi individu berkenaan meminta dia bercakap dengan polis Negeri Sembilan sebelum dimaklumkan dia terlibat dengan kegiatan jenayah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika semakan nombor kad pengenalan dibuat mangsa dimaklumkan terlibat kes dadah dan pengubahan wang haram.

"Mangsa kemudian diminta memindahkan kesemua wang miliknya ke dalam akaun bank yang dikatakan milik pegawai mahkamah untuk tujuan siasatan dan wang akan dipulangkan setelah siasatan selesai.

"Mangsa yang dalam ketakutan telah memindahkan wang secara berperingkat ke beberapa akaun bank terbabit," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, mangsa hanya sedar ditipu selepas menceritakan hal ini kepada anaknya dan kemudian membuat laporan polis.

Sementara itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan pihak tertentu yang meminta pengadu mendedahkan maklumat bank dan pindahkan wang bagi tujuan siasatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.