Penuntut kejururawatan rugi RM11,500 dijerat scammer

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penuntut bidang kejururawatan mengalami kerugian berjumlah RM11,500 akibat terpedaya dengan taktik penipuan ejen jualan konsol permainan video di aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul telah menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 20 tahun pada Sabtu.

"Pengadu menyatakan telah melihat iklan penjualan konsol permainan video yang dijual dengan harga RM300," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahmad Sukarno berkata, pengadu kemudian telah berurusan dengan seorang ejen jualan dan telah diminta untuk membuat bayaran sebanyak RM250.

"Seterusnya, pengadu telah diminta untuk membuat pelbagai bayaran lain seperti bayaran Kastam, bayaran insurans dan caj penghantaran," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pengadu telah membuat pembayaran secara berperingkat sejak 8 Mei hingga 13 Mei lalu sebanyak 13 kali transaksi ke dalam dua akaun bank yang berbeza sebanyak RM11,500.

"Kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa telah terpedaya," katanya.