Lelaki rugi RM58,800 diperdaya scammer pelaburan

Seorang lelaki kerugian RM57,800 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan Bitfine di aplikasi Telegram.- Gambar hiasan
Seorang lelaki kerugian RM57,800 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan Bitfine di aplikasi Telegram.- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Seorang lelaki kerugian RM58,800 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan Bitfine di aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun berkaitan kes tersebut pada Ahad lalu.

"Pengadu telah berkenalan dengan seorang individu melalui aplikasi Telegram pada 17 Mac lalu, namun dia tidak melayan individu tersebut.

"Pada 27 April lalu, pengadu mula berkomunikasi dengan individu tersebut dan telah berminat dengan pelaburan yang ditawarkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Sukarno berkata, pengadu yakin dengan pelaburan tersebut kerana menerima pulangan sebanyak RM543.

"Hasil siasatan mendapati mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat sejak 27 April sehingga 8 Mei lalu sebanyak lapan kali transaksi ke dalam lima jenis akaun bank yang berbeza berjumlah RM58,800," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan scammer yang menyebabkan ramai mangsa telah terpedaya.

"Orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 atau membuat semakan di laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/," katanya.