Wanita rugi RM84,600 diperdaya 'Ahmad Adam'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang wanita berputih mata selepas mengalami kerugian RM84,600 akibat diperdaya lelaki dikenalinya menerusi media sosial yang mendakwa menetap di United Kingdom (UK).

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang berusia 57 tahun mula mengenali lelaki bernama Ahmad Adam itu menerusi Facebook pada 25 Februari lalu.

Beliau berkata, selepas beberapa minggu berkomunikasi dengan lelaki berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp, suspek menyatakan mahu pulang ke negara ini bagi mengahwini mangsa.

"Mangsa kemudian dihubungi oleh seorang wanita mengaku sebagai pegawai Kastam memaklumkan Ahmad Adam ditahan kerana membawa wang (mata wang pound sterling) yang banyak.

"Mangsa diarahkan untuk membuat beberapa pembayaran bagi melepaskan lelaki itu.

"Mangsa membuat pembayaran dengan melakukan transaksi sebanyak lapan kali ke akaun Bank Islam berjumlah keseluruhan RM84,600," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sohaimi berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila kehabisan wang simpanan serta menceritakannya kepada ahli keluarga.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan juga merangkumi pembabitan keldai akaun sekiranya wujud serta tindakan susulan akan dilakukan," katanya.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, Mohd Sohaimi berkata, seorang wanita warga emas menjadi mangsa satu sindiket pelaburan pokok gaharu yang dipercayai tidak wujud.

Menurutnya, mangsa berusia 64 tahun yang berminat dengan skim pelaburan tersebut telah menghadiri satu seminar pada 2019.

"Suspek menjanjikan pulangan modal serta keuntungan yang tinggi jika mangsa melabur dengan cara membuat pembelian pokok gaharu dan suspek berjanji akan membeli semula pokok-pokok tersebut dengan harga yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat pembelian 66 pokok gaharu secara dalam talian pada 2019 keseluruhan berharga RM99,000.

"Mulai Oktober 2019 hingga Ogos 2021 mangsa menerima pulangan balik RM44,000 namun kemudian suspek gagal dihubungi.

"Mangsa mengalami kerugian RM55,000 dan mencari suspek di pejabat namun mendapati syarikat berkenaan tidak beroperasi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga merangkumi pembabitan keldai akaun sekiranya wujud serta tindakan susulan akan dilakukan," katanya.