Pemimpin Daesh dilaporkan maut di Syria

505538
A
A

WASHINGTON - Pemimpin militan Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi dipercayai meninggal dunia ketika operasi tentera Amerika Syarikat (AS) di wilayah Idlib, Syria, lapor media AS awal hari ini.

Laporan media yang memetik beberapa sumber kerajaan berkata, Baghdadi berkemungkinan membunuh diri ketika serangan pasukan operasi khas terbabit.

Pemimpin Daesh berkenaan dilaporkan menjadi sasaran operasi rahsia yang diluluskan Presiden AS, Donald Trump.

Menjadi buruan pakatan AS yang memerangi Daesh sejak sekian lama, Baghdadi telah beberapa kali dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Berasal dari Iraq dan berumur sekitar 48 tahun, Baghdadi berjaya menubuhkan gerakan militan dengan kekuatan tersendiri di sebahagian besar Syria dan Iraq.

Baghdadi bagaimanapun melarikan diri sejak pakatan diketuai AS memusnahkan organisasi kumpulan militan terbabit susulan perang selama dua tahun sebelum mengisytiharkan kemenangan ke atas Daesh pada bulan Mac tahun ini.

Ketika kemunculannya menerusi sebuah video tahun ini, Baghdadi menyeru militan Daesh untuk membebaskan ribuan rakan seperjuangan yang ditahan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang disokong AS di Syria.

Sementara itu, Rumah Putih mengumumkan Trump akan membuat satu pengumuman penting tanpa memberikan butiran lanjut. - AFP