X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan Selangor 2020: OKU minta lebih banyak peluang pekerjaan

Azzrulkhan (tengah) bersama rakan-rakannya berharap peluang pekerjaan terhadap golongan OKU diperbanyakkan.
A
A

SHAH ALAM - Golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini berharap kerajaan negeri akan memberi fokus kepada penyediaan latihan, kemahiran dan peluang pekerjaan terhadap mereka sempena Belanjawan Selangor 2020.

Azzrulkhan Hasrullah Matsah, 27, yang merupakan OKU fizikal berkata, kebanyakan OKU tidak berpeluang menempatkan diri dalam sektor pekerjaan disebabkan peluang yang terhad.

"Aspek pembangunan dan pendidikan OKU perlu diperkasakan melalui bimbingan dan latihan agar kami mampu berdikari.

"Jika dilihat situasi semasa, ramai OKU yang tidak bekerja, jika yang bekerja pun bukannya secara tetap. Harap kerajaan negeri boleh bantu untuk tempatkan kami dalam masyarakat demi kelangsungan hidup," katanya.

Dalam pada itu, Koordinator Belia OKU Majlis Belia Malaysia, Mohd Faiz Shuhaimi, 26, turut menyokong pandangan untuk kerajaan negeri memberikan perhatian dalam aspek latihan dan kemahiran kepada belia OKU.

Mohd Faiz
Mohd Faiz

"Harapan saya agar Belanjawan Selangor 2020 akan mengutamakan pembangunan OKU secara menyeluruh iaitu bukan sekadar penyediaan kemudahan mesra OKU sebaliknya keutamaan dari segi latihan ke arah pasaran kerja.

"Saya cadangkan kerajaan menyediakan modul Kemahiran OKU Selangor melalui penyediaan Program Pendidikan dan TVET (Latihan Teknikal dan Latihan Vokasional) serta keusahawanan khusus kepada OKU," katanya yang merupakan OKU cacat pendengaran.

Sementara itu, aktivis masyarakat, Dr Billy Tang, 53, berkata, pihaknya terlibat dalam pembangunan OKU di bawah projek pertanian bandar atau Urban Smart Farm Ability dalam usaha menambah pendapatan dan peluang pekerjaan kepada OKU.

"Pemerkasaan golongan OKU ini perlu dipergiat melalui sokongan dan kerjasama semua pihak. Saya harap kerajaan negeri menyokong usaha ini agar program ini disebar luas dan mencapai sasarannya.

"Kami sebolehnya tidak mahu berterusan mendapatkan ihsan dari kerajaan sebaliknya mahu turut serta menyumbang kepada negara. Jika projek ini berjaya ia akan memberikan manfaat kepada banyak pihak," katanya.

Billy menunjukkan tanaman bandar yang diasaskannya dalam usaha menambah pendapatan dan peluang pekerjaan kepada OKU.
Billy menunjukkan tanaman bandar yang diasaskannya dalam usaha menambah pendapatan dan peluang pekerjaan kepada OKU.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus