Identiti mayat dalam kontena masih cetus tanda tanya

Pemandu trak itu, Robinson telah ditahan untuk siasatan lanjut susulan penemuan 39 mayat dalam kontena sejuk beku di Essex pada Rabu lalu.
A
A

LONDON - Polis Britain telah memulakan proses memindahkan 39 mayat mangsa yang ditemukan dalam sebuah kontena sejuk beku di Essex pada Rabu lalu.

Langkah seterusnya di bawah siasatan itu adalah melakukan prosedur post-mortem ke atas kesemua mayat terbabit.

"11 daripada mayat yang dipercayai sebagai rakyat China telah dipindahkan oleh ambulans dengan diiringi polis dari Pelabuhan Tilbury ke Hospital Broomsfield di Chelmsford," ujar jurucakap polis.

Difahamkan, baki mayat mangsa akan dipindahkan secara berperingkat dan proses itu dijangka selesai akhir minggu ini.

Terdahulu, Kementerian Luar China memaklumkan polis Britain belum mengesahkan mayat mangsa adalah warga China.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas seorang pegawai konsular turut ke Essex sehari selepas penemuan menggemparkan itu.

Tong Xuejun mengesahkan beliau telah bertemu dengan pihak berkuasa.

"Kami menggesa polis British untuk mencari kebenaran dan kami akan memaklumkan perkembangan insiden itu kepada media," ujar Xuejun.

Sebelum ini, polis mendakwa kesemua mereka termasuk lapan wanita dipercayai sebagai warga China dan trak itu dilaporkan tiba di kawasan perindustrian di Essex selepas memasuki negara itu melalui Holyhead di Wales dari Dublin pada Ahad lalu.

Difahamkan, pemandu trak tersebut dikenali sebagai Mo Robinson, 25, telah ditahan untuk siasatan lanjut dan tiga kediaman di Ireland Utara turut diserbu Agensi Jenayah Kebangsaan untuk mengenal pasti jika kumpulan jenayah terancang turut terlibat.

Pada 2000, seramai 58 imigran ditemukan bersembunyi dalam sebuah trak Belanda di pelabuhan Dover dan hanya dua daripada mereka dilaporkan terselamat. - Agensi