Tauke Sintokyo dulu gadis pemalu, kini usahawan kampus berjaya

Siti Norliana (tiga dari kiri) ditemani kembarnya, Siti Norlina (kiri) dan rakan-rakan di gerainya di Pesta Konvokesyen ke-32 UUM.
Siti Norliana (tiga dari kiri) ditemani kembarnya, Siti Norlina (kiri) dan rakan-rakan di gerainya di Pesta Konvokesyen ke-32 UUM.
A
A
A

SINTOK - Kehilangan bapa tersayang tahun lalu merupakan satu tamparan hebat kepada Siti Norliana Noordin.

Bagaimanapun dia tidak sanggup melihat kesusahan ibunya membesarkan enam anak sendirian lalu mengambil keputusan berniaga secara kecil-kecilan.

Selepas 11 tahun, kini siapa sangka graduan berusia 24 tahun ini berjaya mengasaskan Sintokyo yang popular di Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu tempat beliau melanjutkan pelajaran.

Sintokyo merupakan perniagaan yang menjual pelbagai jenis sushi halal berperisa tempatan seperti kimbap dan tempura udang.

Siti Norliana berkata, dia tidak pernah terlintas memulakan perniagaan menjual sushi kerana dia sendiri tidak meminati makanan dari Jepun itu.

Bagaimanapun katanya, semuanya bermula apabila dia perlu menjalankan perniagaan bagi memenuhi tugasan projek perniagaan yang diberikan pensyarah bagi kursus Pengurusan Jaringan Usahawan dan kursus Gelagat dan Kemahiran Keusahawanan.

"Saya kemudian mendapat idea mencipta sushi mengikut selera orang Malaysia seperti menyediakan sushi serunding dan rendang yang akhirnya mendapat permintaan tinggi.

"Saya belajar menyediakan sushi melalui YouTube dan menjadi satu cabaran ketika hendak mengolah resipi sesuai dengan tekak orang kita kerana tidak ramai yang gemar makanan mentah itu," kata graduan Sarjana Muda Pengurusan Awam itu selepas menghadiri sesi keenam Majlis Konvokesyen Ke-32 UUM kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Aneka sushi Sintokyo dijual di Pesta Konvokesyen ke-32 UUM pada harga berpatutan.
Aneka sushi Sintokyo dijual di Pesta Konvokesyen ke-32 UUM pada harga berpatutan.

Menurutnya, dia dan rakan kongsi, Nurul Husna Md Zahir mengambil keputusan meneruskan perniagaan tersebut secara tetap selepas mendapat sambutan baik daripada pelanggan.

"Kini Sintokyo mempunyai 14 pekerja dalam kalangan penuntut di sini dan beroperasi di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM).

"Saya gembira dapat membantu penuntut lain menambah pendapatan dengan menyediakan peluang pekerjaan serta latihan keusahawanan kepada mereka secara 'attachment' untuk Kursus Pengurusan Jaringan Usahawan," katanya.

Tambahnya, menguruskan perniagaan ketika belajar memerlukan semangat juang yang tinggi dari aspek menguruskan masa dengan teratur, memiliki ketahanan mental dan tidak mudah berputus asa.

"Sebagai penuntut saya juga perlu bijak membahagikan masa dengan sebaik mungkin antara pelajaran dan perniagaan, mengorbankan masa rehat dan adakalanya tidur dua jam sehari untuk menyelesaikan tugasan kerana waktu siang sibuk menguruskan perniagaan dan kelas.

"Untuk sentiasa bersemangat saya selalu letakkan niat berniaga kerana ALLAH SWT demi membantu keluarga di samping memberi peluang pekerjaan kepada pelajar UUM mencari duit poket.

"Saat-saat hilang semangat atau kecewa saya akan ingat semula niat itu dan terbayang wajah ibu untuk terus bangkit berjuang," katanya.

Siti Norliana bersyukur kerana dapat menamatkan pelajaran setelah menempuh pelbagai cabaran dan berharap penuntut aktif berniaga untuk melahirkan lebih ramai usahawan siswa yang mencipta kerjaya bukannya mencari kerja.

Siti Norliana bersama ibunya, Jamaliah Abdullah dan kembarnya, Siti Norlina (kanan) meraikan hari konvokesyennya di UUM, kelmarin
Siti Norliana bersama ibunya, Jamaliah Abdullah dan kembarnya, Siti Norlina (kanan) meraikan hari konvokesyennya di UUM, kelmarin

Sintokyo meraih pelbagai kejayaan antaranya Anugerah Perak pada Persidangan dan Expo Antarabangsa Ciptaan Institut Pengajian Tinggi (PECIPTA) 2019, tercalon sebagai Top 10 Program Superb Teraju Higher Education Kementerian Pendidikan Tinggi dan memenangi dana RM50,000 selain tercalon dalam Top 10 Malaysian Entrepreneurship Award 2018 (MEA 2018).

Sementara itu, mentornya, Dr Armanurah Mohamad berkata, Siti Norliana dan Nurul Husna mempunyai ciri-ciri usahawan untuk menerokai perniagaan sushi yang berpotensi untuk dikomersialkan.

"Siti Norliana adalah penuntut minor bidang keusahawanan, seorang gadis pemalu dan kurang keyakinan diri tapi minat terhadap sushi sangat tinggi walaupun pada ketika itu ada yang mengatakan berniaga sushi tidak boleh pergi jauh. Jadi saya kuatkan semangat dia untuk terokai apa yang dia suka.

"Bermula dengan pengalaman keusahawanan secara hands-on seperti membuat tinjauan pasaran, bimbingan dan latihan, dari situ mereka mula rasa seronok sebab perniagaan semakin mendapat perhatian," katanya