50 NGO, persatuan desak kerajaan haramkan vape

Dr Rampal (duduk, empat dari kiri) bersama gabungan persatuan dan NGO memegang plakad BAN VAPE di sini hari ini.
Dr Rampal (duduk, empat dari kiri) bersama gabungan persatuan dan NGO memegang plakad BAN VAPE di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 50 gabungan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan agar melakukan pengharaman secara menyeluruh penggunaan rokok elektronik atau vape di negara ini.

Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Prof Datuk Dr Lekhraj Rampal berkata, desakan tersebut adalah untuk melindungi rakyat di negara daripada terus terjebak dengan produk berbahaya ini.

Menurutnya, saranan untuk mengharamkan penggunaan vape itu telah dicadangkan sejak 2015 lagi iaitu sewaktu polemik vape pada ketika itu memuncak.

"Pada ketika itu, keputusan yang dibuat adalah untuk mengawal selia vape dan memberi peluang kepada pengusaha untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Malangnya peraturan tersebut bukan sahaja gagal dipatuhi malah pada hari ini kita dapati penjualan, pemasaran dan promosi vape dan cecair nikotin di negara ini semakin berleluasa," katanya kepada media selepas menandatangani memorandum untuk mendesak kerajaan dengan segera mengharamkan vape secara menyeluruh di sini hari ini.

Dr Lekhraj berkata, natijahnya ia telah menyebabkan golongan yang tidak pernah merokok seperti wanita dan pelajar sekolah mula terjerat dengan ketagihan nikotin.

Beliau berkata, ini telah terbukti menerusi hasil kajian Tobacco & E-cigarette Survey Among Malaysian Adolescents (TECMA) 2016 dianggarkan 300,000 pelajar adalah pengguna vape.

"Perkara ini berlaku apabila masyarakat kita terutamanya kanak-kanak telah disogok dengan mesej kesihatan yang salah yang mendakwa ia selamat.

Artikel Berkaitan:

"Hakikatnya semakin banyak kajian terkini daripada penyelidik dan pakar perubatan menunjukkan bahaya vape kepada kesihatan tubuh badan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MCTC, Shari Junid berkata, hasil kajian terbaharu menunjukkan tidak ada bukti kukuh bagi menyokong fakta vape sebagai kaedah untuk berhenti merokok.

"Kandungan nikotin yang tinggi dan kaedah mekanisme penyampaian nikotin yang pantas menyebabkan individu yang menggunakan vape terus dibelenggu dengan ketagihan nikotin.

"Paling ketara yang dibimbangi adalah implikasi wap cecair vape kepada organ paru-paru kerana didapati cecair wap mengandungi logam berat yang berpunca daripada bahan pembakar dan komponen vape," katanya.

Dalam masa sama, Shari berkata, tinjauan mendapati kaum Melayu Islam antara yang paling ramai menghisap vape sedangkan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 21 Disember 2015 lalu memutuskan bahawa penggunaan vape dan rokok elektronik adalah haram.

"Penggunaan rokok elektronik dan vape diharamkan berdasarkan kaedah Sad al Zara'e iaitu menutup keburukan lebih besar dan lebih bahaya yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

"Fatwa tersebut sememangnya tepat dan berasas kerana terdapat banyak kes kematian melibatkan pengguna vape di Amerika Syarikat dan lebih menyedihkan daripada 33 kematian yang telah dicatatkan majoritinya terdiri dalam kalangan golongan muda yang berpotensi untuk menyumbang produktiviti," katanya.

Menurutnya, isu penggunaan vape adalah satu ancaman kesihatan awam global yang mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia.

Ini kerana katanya, sebanyak 43 negara di seluruh dunia telah mengambil langkah melarang penjualan dan penggunaan vape di negara mereka.

"Negara jiran seperti Thailand, Singapura, Brunei dan Kemboja telah mengharamkan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.

"Tiada alasan untuk Malaysia terus membiarkan kemusnahan dan kemudaratan ini untuk terus berleluasa," katanya.

Beliau berkata, pengharaman secara sepenuhnya oleh kerajaan akan menutup penjualan vape secara haram melalui pasaran gelap berbanding jika ia dibenarkan dan diregulasi kerana sebahagian daripada pengusaha produk ini akan menjual melalui jalan belakang terutamanya dalam talian atau platform media sosial yang tidak mudah untuk dipantau sepenuhnya.