Gabung desak kerajaan Persekutuan kaji rayuan kalimah ALLAH

Ahli Gabung mendesak agar kerajaan Persekutuan mengkaji semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan isu kalimah ALLAH.
Ahli Gabung mendesak agar kerajaan Persekutuan mengkaji semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan isu kalimah ALLAH.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) mendesak agar kerajaan Persekutuan mengkaji semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan isu kalimah ALLAH.

Presiden Gabung, Zaini Atan berkata, tindakan itu bukan sahaja mengejutkan umat Islam negara ini malah mampu memberi kesan terhadap akidah masyarakat itu pada masa hadapan.

Jelasnya, penelitian semula rayuan itu penting kerana ia berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama dan sentimen umat Islam negara ini.

"Isu ini amat dekat dengan hati umat Islam di Johor dan negara ini. Justeru kerajaan perlu mendengar keluhan umat Islam dalam isu kalimah ALLAH.

"Gabungan NGO Melayu Johor sentiasa bersama dan menyokong titah Sultan Ibrahim selaku ketua agama Islam di negeri ini.

"Kami menjunjung titah Sultan Ibrahim dalam isu kalimah ALLAH, yang mana segala penerbitan, percetakan, penyiaran dan mengedar sebarang bahan yang mengelirukan rakyat terutama umat Islam, tidak akan dibenarkan di Johor selari dengan kedudukan Islam dalam undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1985," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Gabung yang dinaungi 145 badan menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sebuah restoran pada Jumaat.

Pada Rabu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan agar Kerajaan Persekutuan memperhalusi semula tindakan menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Zaini (tengah) mengadakan sidang akhbar berhubung titah Sultan Johor mengenai kalimah ALLAH di Johor Bahru pada Ahad.
Zaini (tengah) mengadakan sidang akhbar berhubung titah Sultan Johor mengenai kalimah ALLAH di Johor Bahru pada Ahad.

Sebelum itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'ALLAH' dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Pada Selasa, media melaporkan kerajaan tetap berpendirian bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam penerbitan oleh orang bukan Islam di Semenanjung, kecuali di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan oleh penganut Kristian, juga tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.